12 Syaaban 1433H. [MOD] -
Banduan, warden, polis terbabit edar dadah dikesan
KUALA LUMPUR: Polis dan Jabatan Penjara mengakui polis serta warden terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di penjara. Sehubungan itu kedua-dua pihak sedang menyiasat untuk mengesan dalang kegiatan itu bagi memastikan tembok penjara kebal daripada cubaan penyeludupan dan pengedaran barangan terlarang.
“Polis sudah berbincang dengan Jabatan Penjara dan sedang merangka langkah khusus menanganinya. Kita sedang merancang sesuatu” - Noor Rashid Ibrahim, Pengarah JSJN Bukit Aman
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata bagi tujuan itu polis dan Jabatan Penjara akan merangka mekanisme khusus termasuk meningkatkan pemantauan dan risikan.
Beliau memberi amaran mereka yang disyaki mengedar dadah akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama ada polis atau pegawai penjara dalang kegiatan itu.
Biasanya transaksi berlaku di luar seperti ketika perbicaraan atau ketika ahli keluarga melawat banduan.
“Polis sudah berbincang dengan Jabatan Penjara dan sedang merangka langkah khusus menanganinya. Kita sedang merancang sesuatu,” katanya kepada BH semalam,
Beliau mengulas pendedahan akhbar ini mengenai penyeludupan dan pengedaran dadah serta barang larangan lain dalam penjara dengan bantuan warden dan polis yang diberi upah.
Warden dan polis terbabit dikatakan menerima komisen 30 hingga 50 peratus bagi setiap barang dijual, manakala banduan yang mengetuai rangkaian itu pula mampu meraih sehingga RM20,000 sebulan.
Dijual lebih mahal
Dadah dijual 10 kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran dan diseludup menggunakan pelbagai cara termasuk dimampatkan dalam plastik sebelum dimasukkan ke dubur ketika banduan dibawa polis ke lokap mahkamah atau balai transit.
Warden pula didakwa menyeludup dadah menggunakan dompet, topi, pakaian dan plastik nipis yang dilekatkan pada badan sebelum diserahkan kepada banduan.
Sementara itu, Ketua Unit Sekretariat Jabatan Penjara, Supri Hashim mengakui ada pegawai penjara dikesan terbabit dalam kegiatan itu sudah dibuang kerja, ditahan dan dihukum penjara.
“Tindakan terhadap banduan terbabit kesalahan tatatertib kerana menyimpan atau menyalahguna dadah pula dikenakan hukuman termasuk sebatan rotan,” katanya dalam satu kenyataan.
berita harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan