12 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU – Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Itu perumpamaan tepat bagi menggambarkan nasib seorang pemuda yang akhirnya tumpas setelah dipercayai antara suspek yang aktif mencuri barang-barang dapur di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, suspek, 25, beralamat dari Kampung Ladang, di sini, ditangkap setelah perbuatannya mencuri empat bungkus Nescafe disedari orang awam sebelum dimaklumkan kepada pengawal keselamatan bertugas.
Menurut sumber, suspek yang ketika itu berseorangan sedang asyik memilih beberapa bungkusan Nescafe pelbagai berat dan dimasukkan ke dalam baju dipakainya, sebelum ditangkap oleh pengawal keselamatan bertugas.
“Tanpa menghiraukan persekitaran, suspek dengan selamba telah mencapai empat bungkusan Nescafe lalu dimasukkan ke dalam baju T yang dipakainya.
“Gelagatnya yang mencurigakan itu telah menarik perhatian beberapa orang awam yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian lalu memaklumkan kepada pengawal keselamatan bertugas,” katanya.
Sinar Harian difahamkan suspek yang masih bujang itu sebelum ini pernah mencuri barangan sama berharga kira-kira RM18 sebungkus dan menjualnya kepada individu berminat dengan hanya RM15 sebungkus bagi mendapatkan bekalan dadah.
Sementara itu, semalam, Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen/Majistret, Rusila Nik membenarkan suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Bagi kesalahan itu sekiranya suspek disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kedua atau yang kemudian boleh penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Sinar Harian
1 ulasan:
hati kering betul...dah biasa sgt agaknye...tu die x kisah...
Catat Ulasan