02 Julai 2012

PAS anggap Himpunan Hijau beri lonjalan politik

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: PAS yakin program Himpunan Hijau ke Putrajaya yang sedang diadakan bagi menggantikan muktamar di seluruh negara berjaya menggerakkan kesedaran dan lonjalan politik pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini berdasarkan jumlah kehadiran di setiap negeri yang diadakan himpunan tersebut setakat ini mencecah ke angka 20,000 orang.

“Himpunan di Pahang merupakan yang keenam selepas di Alor Setar (Kedah), Perak, Melaka, Johor dan Terengganu. Kehadiran di semua negeri mencecah ke angka 20,000, jadi kita rasa akan berlaku lonjakan politik,” katanya dalam sidang media khas sejurus sebelum Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat negeri Pahang bermula.

Program bermula dengan Talk Show anjuran Dewan Muslimat yang menampilkan selebriti terkenal Aishah bersama Setiausaha Majlis Syura PAS Ustaz Nik Zawawi Salleh, kemudian diikuti majlis santai seni anjuran Dewan Pemuda yang menampilkan penyanyi lagu ‘Selagi ada rindu’ Pak Long dan kumpulan UNIC.

Kumpulan bermotosikal Pemuda ARC pula akan berkonvoi dari Taman Kubang Gajah ke tapak program iaitu di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menjelaskan, pada permulaan malam diadakan Solat Maghrib, Solat Hajat dan munajat di dataran tersebut yang dipimpin oleh Dewan Ulamak PAS Pahang.

“Pada ceramah sebelah malam berlaku satu kejutan dengan perisytiharan tokoh kanan kerajaan yang akan menyertai PAS Pahang,” katanya.

Menjawap soalan pemberita, Tuan Ibrahim mengakui kedudukan PAS sekarang lebih mantap dan dapat dilihat semakin ramai tokoh-tokoh yang menyertai PAS.

Mengenai trend baru artis menyertai PAS walaupun terpaksa menerima pelbagai tohmahan, beliau kagum dan menghormati mereka kerana tetap mempunyai kekuatan untuk bersama parti itu.

“Bagi kita peranan artis memang besar, bila umum masuk PAS bermakna mereka bawa peminat mereka sekali. Kita nampak mereka keseronokan walaupun bayaran diterima sewaktu berada di luar PAS lebih lumayan.

“Saya yakin artis yang masuk PAS tak hilang peminat. Sebagai contoh Rhoma Irama yang umumkan sertai parti Islam, peminat dia tak lari. Jadi saya fikir artis tak perlu takut. Yang penting berbetulan dengan ketenangan jiwa kerana selain hiburkan orang lain mereka juga perlu hiburkan diri mereka sendiri,” ujarnya.

Tuan Ibrahim menjelaskan, momentum golongan muda sentiasa ada dan PAS akan kekalkan mood perubahan yang tinggi di samping menyemarakkan lagi semangat dan daya juang ahli-ahlinya sebagai titik tolak merealisasikan hasrat menuju ke Wisma Sri Pahang.

Harakah Daily

Tiada ulasan: