02 Julai 2012

Pembangkang Syria tolak pelan peralihan

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

DAMSYIK - Kumpulan pembangkang di Syria, semalam sebulat suara menolak pelan peralihan kuasa politik secara sementara di negara itu.

Tokoh veteran pembangkang, Haitham Maleh berkata, perjanjian untuk menubuhkan satu kerajaan sementara untuk menghentikan keganasan di negara tersebut sememangnya satu perkara sia-sia.

"Keberkesanan pelan itu sememangnya diragui walaupun ada elemen positif. Ia tidak dapat memberi jaminan dapat menghentikan konflik yang semakin meruncing di negara ini," katanya.

Dalam satu kenyataan lain, jurucakap Majlis Kebangsaan Syria, Bassam Kodmani menyatakan kejayaan pelan itu juga masih samar-samar kerana ia kekurangan mekanisme untuk melaksanakannya.

"Kami tidak mahu lagi berkongsi kuasa dengan Assad. Pelan damai sebelum ini juga gagal dipatuhi dan pembunuhan ke atas orang awam masih lagi berleluasa sehingga ke hari ini," tegasnya.

Kelmarin, pelan penubuhan kerajaan sementara di Syria yang dicadangkan oleh Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Kofi Annan telah dipersetujui semasa dibincangkan dalam persidangan antarabangsa di Geneva.

Difahamkan, pelan tersebut akan mengecualikan penglibatan Presiden Bashar al-Assad. Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang seakan tidak bersetuju dengan cadangan pelan tersebut menegaskan tidak ada pihak yang perlu dikecualikandaripada proses pembentukan kerajaan sementara di Syria.

"Pengecualian mana-mana individu atau parti sememangnya akan menggagalkan usaha penubuhan kerajaan perpaduan,” katanya lagi.

Pada masa ini, keganasan di Syria dilaporkan semakin buruk ditambah lagi dengan krisis yang tercetus bersama Turki, kira-kira dua minggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan Assad terpaksa mengisytiharkan negara itu berada di dalam kancah peperangan sebenar selepas Turki mula mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan jika sempadannya diceroboh.

Sinar Harian

Tiada ulasan: