12 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA BERANG - Tiga remaja lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di daerah Hulu Terengganu ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan menjual komponen motosikal curi dalam beberapa kes berasingan sekitar Jun lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, ketiga-tiga suspek berumur antara 17 hingga 21 tahun itu berjaya ditahan berikutan penahanan salah seorang daripada mereka di Felda Bukit Bading, Rabu lalu.
“Bertindak atas maklumat awam, kira-kira jam 9.30 malam, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dengan diketuai Inspektor Muhammad Alias membuat pemeriksaan ke atas seorang remaja sedang menunggang motosikal jenis EX5.
“Hasil pemeriksaan ke atas remaja berumur 17 tahun dan tidak bersekolah ini, mendapati kenderaan tersebut adalah motosikal curi yang didapati hilang oleh pemiliknya iaitu seorang guru dari Kampung Bukit Perah, Ajil, 9 Jun lalu.
“Motosikal berkenaan diletakkan di hadapan rumah pemilik dan didapati hilang sebelum membuat aduan di Balai Polis Ajil pada hari sama.
“Siasatan lanjut mendapati remaja ini terlibat dalam enam kes kecurian motosikal sepanjangJun antaranya di Kampung Bukit Kolam, Kampung Gaung, Kampung Kua serta Kampung Menerong,” katanya semalam.
Mohd Rosli berkata, siasatan itu juga membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang masing-masing berumur 17 dan 21 tahun di rumah masing-masing iaitu di Kampung Baru Sungai Binjai dan Kampung Bukit Diman kira-kira jam 3 pagi pada 28 Jun lalu.
“Kedua-dua mereka ini pembeli kepada motosikal yang dicuri dengan harga dipercayai antara RM200 hingga RM300 sebuah sebelum dileraikan bagi mendapatkan komponennya untuk dijualkan. Manakala, rangka kenderaan berkenaan dibuang ke dalam kolam dan sungai.
“Salah seorang pembeli motosikal curi ini masih bersekolah dan dengan tertangkap kedua-dua mereka ini, polis turut berjaya menemui dua rangka motosikal jenis Honda EX5 serta beberapa komponen lain di daerah ini.
Katanya, suspek yang juga pencuri motosikal itu didapati aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan tersebut awal Jun lalu dan ujian air kencing mendapati remaja terbabit positif dadah.
Mohd Rosli berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana bagi kesalahan mencuri kenderaan bermotor.
Dalam perkembangan berkaitan, statistik jumlah kes kecurian motosikal bagi daerah ini bermula Januari tahun ini sehingga kini adalah 66 kes.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan