12 Syaaban 1433H. [MOD] -
IPOH – Kegembiraan sekumpulan kanak-kanak mandi-manda di sebuah lombong bijih tinggal di Kampung Seri Rahmat, Pasir Putih, di sini bertukar mimpi ngeri apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas, petang kelmarin.
Lebih menyayat hati, apabila mangsa, Muhammad Hanafi Radzi, 10, bukanlah yang pertama dalam ahli keluarganya meninggal akibat lemas di lombong itu.
Lombong yang sama turut meragut nyawa bapa saudaranya ketika memancing kira-kira lapan tahun lalu malahan beberapa nyawa lain turut melayang di situ.
Ibu saudara mangsa, Normaskana Husain, 37, ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berkata, dia tidak percaya arwah sanggup pergi ke lombong itu kerana sepanjang pengetahuannya, arwah tidak pernah berani ke situ.
Dia berkata, dia dan ibu arwah, Siti Fatimah Husain, 29, sering menasihatkan arwah supaya tidak mendekati lombong berkenaan selepas kejadian lemas menimpa bapa saudara mereka pada tahun 2005.
“Walaupun lombong itu cuma terletak kira-kira 200 meter dari rumah, arwah tidak pernah sesekali cuba ke situ,” katanya yang masih terkejut dengan insiden itu.
Tambahnya, pada ketika itu arwah bersama-samanya menghadiri kenduri tahlil di rumah jiran sebelum menghilangkan diri lebih kurang jam 5 petang.
“Selepas menyedari kehilangan arwah, saya bersama abangnya, Norfitri, 12, keluar mencarinya merata tempat termasuk di padang permainan dan kafe siber namun, gagal menjejakinya sebelum didatangi seorang rakan sekolah arwah yang memaklumkan arwah lemas di lombong,” katanya yang rapat dengan arwah sejak bayi.
Katanya, dia terus bergegas ke lombong sebelum mendapati arwah sudah kaku di tepi lombong sejurus diselamatkan oleh pekerja warga Bangladesh berkenaan.
Normaskana berkata, dia juga hairan kerana hanya menemui pakaian dan basikal arwah di tepi lombong sedangkan arwah dan beberapa rakan lain turut mandi di lombong sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.
Beliau berkata, sejurus tiba, anggotanya mendapati mangsa sudah meninggal dunia malah, mayatnya juga sudah dibawa naik ke daratan oleh seorang pekerja warga asing yang bekerja di sebuah projek perumahan berhampiran lombong itu.
“Mayat mangsa kemudian di bawa ke HRPB untuk bedah siasat,” katanya.
Jenazah arwah dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Seri Rahmat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh pagi semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan