02 Julai 2012

Bukit Botak: Umno Cuba Rampas Kejayaan Pakatan, Beri Tawaran Palsu

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAJANG, 2 JUL: Gara-gara dengki dengan kejayaan Pakatan Rakyat Selangor menyelesaikan masalah Projek Perumahan Bukit Botak, pemimpin Umno Selangor sekali cuba merampas kejayaan tersebut dengan menawarkan harga yang tidak munasabah kepada peserta skim itu.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad, ADUN dari Umno Selangor sekarang berlumba-lumba untuk menonjolkan diri sebagai wira bagi menyelesaikan apa yang mereka sendiri gagal selesaikan selama lebih 20 tahun,

“Apa yang saya tahu, ada ADUN Umno tawarkan harga antara RM60 ribu hingga RM70 ribu. Lepas tu ada lagi seorang lagi ADUN Umno menawarkan RM42 ribu.

“Saya bimbang nanti ada pula YB Umno yang tawarkan harga RM10 ribu pula, jadi macam sarkis.

“Ini bukannya jual beli ikan, tetapi melibatkan berjuta-juta ringgit, lagipun harga yang kita tawarkan jauh lebih rendah dari harga sebenar,” kata Iskandar ketika ditemui selepas Majlis Dialog Bersama Penduduk Pangsapuri Anggerik di sini baru-baru ini.

Masalah Projek Perumahan Bukit Botak yang lebih 20 tahun terbengkalai dan gagal diselesaikan oleh pentadbiran Umno-BN yang lama akhirnya berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang lima tahun setelah Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

Kerajaan Selangor menawarkan harga RM99,000 kepada peneroka asal kawasan ini dan jauh lebih rendah berbanding harga sebenar yang mencecah lebih RM160,000.

Pengurangan harga dibayar subsidi sebanyak RM 79.6 juta oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Iskandar turut mengingatkan pembeli unit kediaman Projek Perumahan Bukit Botak agar tidak termakan dengan tawaran palsu Umno.

“Saya harap penduduk tak percaya sebab dah lebih 20 puluh tahun, mereka tak buat apa, tak diselesaikan.

“Bila kita berjaya selesaikan dalam masa tak sampai lima tahun pentadbiran Pakatan Rakyat, mereka tawarkan macam-macam pula,” ujarnya lagi.

selangorku/-

Tiada ulasan: