12 Syaaban 1433H. [MOD] -
BUTTERWORTH - Menghairankan dan apa tujuan sebenar apabila tiada barangan berharga hilang selepas 12 kereta yang diletakkan di lot parkir Kondominium Vista Bay di Jalan Telaga Air di sini, dipecahkan cerminnya dalam kejadian awal pagi semalam.
Kejadian itu bukan sahaja menimbulkan rasa kehairanan pemilik kenderaan terbabit, tetapi menyebabkan penduduk lain bimbang kereta mereka mungkin mengalami keadaan sama kerana tidak mengetahui motif sebenar dua lelaki bertindak demikian.
Namun, atas tindakan pantas polis menjalankan siasatan sebaik kejadian itu dilaporkan, kemusykilan penduduk mungkin terjawab apabila dua suspek terbabit dikenal pasti dan akan diberkas dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.20 pagi semalam.
“Kejadian itu membabitkan 12 kereta pelbagai jenis yang diletakkan di lot parkir sekeliling kondominium itu. Ada cermin hadapan, belakang dan sebahagiannya cermin tepi yang dipecahkan.
“Polis mendapat maklumat dikatakan dua lelaki memakai topi keledar bertutup penuh dilihat penduduk melakukan perbuatan itu menggunakan sebatang besi sebelum melarikan diri apabila disergah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat terhadap harta dan usaha menjejaki dua suspek giat dijalankan.
Seorang saksi, yang juga mangsa apabila cermin kereta Kelisa miliknya dipecahkan, Ong Kim Chuan, 57, berkata, ketika kejadian dia berada di balkoni rumahnya di tingkat empat.
“Sebaik mendengar bunyi cermin dipecahkan, saya menjenguk ke bawah dan mendapati dua lelaki masing-masing memegang sebatang besi sedang mengetuk cermin beberapa kereta yang di parkir. Saya menyergah mereka dan menjerit meminta tolong,” katanya.
Dia kemudian bergegas turun dan mendapati 11 kereta lain sudah dipecahkan cermin, manakala dua suspek terbabit melarikan diri dengan motosikal.
Seorang lagi mangsa, yang dikenali sebagai Goh, 30-an berkata, dia terjaga dari tidur di rumahnya di tingkat dua apabila terdengar bunyi bising.
“Saya menjenguk dari tingkap dan mendapati orang ramai sedang mengerumuni kereta Proton Wira saya, sebelum bergegas turun dan terkejut melihat cermin hadapan kereta dipecahkan.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana semua barangan berharga, termasuk peralatan audio dalam kereta tidak hilang,” katanya.
Difahamkan, kejadian itu baru pertama kali berlaku di kawasan berkenaan dan jumlah kerugian yang dialami pemilik kereta lebih RM10,000.
Mangsa, K Letchumanan, 42, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya bahawa cermin kenderaan pelbagai guna Naza Ria miliknya dipecahkan ketika sedang tidur di tingkat lapan kondominium berkenaan, awal pagi semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan