02 Julai 2012

Euro 2012: Robson pertahan Rooney

12 Syaaban 1433H. [MOD] -

BRYAN Robson memegaskan Wayne Rooney bukan punca England terkeluar daripada saingan Euro 2012. Selepas penyingkiran Three Lions, Rooney menjadi bahan kritikan media England kerana gagal menghasilkan impak pada perlawanan suku akhir menentang Itali.

Namun, Robson yang juga merupakan legenda Manchester United berasakan layanan media terhadap Rooney tidak adil, malah beliau percaya media di negara itu sengaja mahu mencari kesalahan pemain berkenaan.

"Media selalu mencari kambing hitam untuk dipersalahkan. Memang senang mengkritik seseorang sepanjang masa. "Saya perasan, segala tumpuan dan kritikan dilemparkan ke atas Rooney. Ketika menentang Itali, dia gagal menjaringkan gol kerana tidak mendapat bantuan daripada bahagian tengah.

"Jadi, adakah itu juga kesilapan Rooney?," katanya. Robson berkata, adalah lebih baik penyokong dan pemerhati bola sepak di England menerima penyingkiran anak buah Roy Hodgson kerana hakikatnya mereka kekurangan bakat yang mampu memenangi kejohanan utama.

"Saya fikir England belum cukup bagus. Kami kekurangan pemain yang benar- benar berkualiti. "Hanya ada beberapa pemain sahaja boleh dikatakan bertaraf dunia selebihnya hanya biasa-biasa," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: