29 Mac 2013

Pelancong Taman Negara bengang

17 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Pelancong Taman Negara bengang
Pelancong di Taman Negara memerlukan perkhidmatan 3G bagi membolehkan mereka melayari internet.
KUALA TAHAN - “Ramai pelancong bengang kerana tak boleh layari internet melalui telefon pintar masing-masing untuk muat naik gambar mereka di Taman Negara dalam laman sosial,” katanya.

Demikian kata Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Pelancongan Taman Negara, Abdul Jalil Abdul Rahman berikutan kawasan pelancongan terkemuka itu tidak disediakan perkhidmatan 3G.

Menurutnya, perkhidmatan 3G kini adalah satu keperluan kerana ia mempercepatkan urusan komunikasi dalam talian.

Kemudahan itu juga boleh menjadi medium promosi tidak langsung untuk menarik pelancong ke Taman Negara.

Kata Abdul Jalil, mereka yang menjadi rakan di laman sosial pelancong tentunya akan teruja untuk datang setelah melihat gambar yang dimuat naik.

“Kita sangat berharap agar pihak telekomunikasi pantau masalah ini dan segera menaik taraf perkhidmatan 3G di sini bagi menarik lebih ramai pelancong," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pelancongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tahan berkata, jumlah pelancong yang datang ke sini meningkat setiap tahun.

“Bagi 2010, 85,576 pelancong direkodkan. Daripada jumlah itu, 45,927 pelancong luar negara dan 39,649 pelancong tempatan.

“2011 pula, jumlah meningkat kepada 88,609 di mana 45,412 pelancong luar negara dan 43,297 pelancong tempatan. Tahun lepas pula, 102,814 pelancong direkodkan,” katanya.

Justeru, katanya, pihak telekomunikasi diminta segera menaik taraf mutu perkhidmatan 3G di Taman Negara bagi membolehkan pelancong menikmati kemudahan rangkaian telekomunikasi yang lebih baik.

sinar/-

Tiada ulasan: