17 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM - Semua pihak harus membiarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh yang ada iaitu sehingga akhir bulan depan sebelum membubarkan Parlimen walaupun ada yang mempersoalkan perkara tersebut.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua pihak seharusnya rasional dan melihat dari sudut lain di mana Najib hanya mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009 iaitu setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
“Beliau masih belum lagi memberikan perkhidmatan sebagai pemimpin negara sepenuh penggal, hanya tiga tahun lebih sahaja.
“Jika beliau mahu menggunakan lima tahun (penggal penuh) itu sudah tentu tidak boleh. Jadi beliau memerlukan masa lebih panjang untuk melaksanakan dasar-dasar yang dirancang dalam tempoh itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan tertinggi itu pada 3 April 2009.
Akur dengan batasan masa yang dimiliki Najib ketika ini, Wan Junaidi juga berkata, disebabkan mengambil alih tugas setahun selepas pilihan raya 2008, Najib telah kehilangan masa satu tahun untuk membuktikan kemampuannya.
Tambah beliau, rasional tindakan Najib bagi memberi peluang kepadanya untuk menyelesaikan perkara-perkara besar sehingga menyebabkan beliau terpaksa melanjutkan pembubaran Parlimen ataupun kemungkinan membiarkan ia terbubar dengan sendirinya akhir akhir bulan depan.
“Dalam keadaan sedemikian, ada kemungkinan dalam masa 30 hari Parlimen akan terbubar dengan sendirinya.
“Saya cukup yakin masih ada perkara besar yang mungkin dianggap tidak dianggap tidak wajar dilaksanakan oleh kerajaan ‘caretaker’ atau kerajaan sementara,” kata wakil rakyat dari Sarawak ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada pembubaran secara automatik harus menjadi amalan selepas ini, Wan Junaidi berkata, apa yang berlaku pada hari ini adalah berbeza dengan perkara yang lalu ataupun pada masa akan datang.
“Pada masa akan datang, sesiapa yang terlantik menjadi Perdana Menteri akan bertugas sepenuh masa bermula selepas penggal pilihan raya selepas.
“Sedangkan, Najib kesuntukan masa dan ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur pada masa-masa akan datang atas apa yang berlaku hari ini,” jelasnya lagi.
Sinar harian/-
1 ulasan:
KEYAKINAN BARISAN NASIONAL UNTUK MENANG DALAM PRUU13 TERLALU LEMAH DIBAWAH PIMPINAN NAJIB,....
Catat Ulasan