SEOUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) menyatakan, sebanyak dua
buah pesawat pengebom nuklear B-2 Stealth terbang di ruang udara Korea
Selatan semalam.
Penghantaran pesawat itu adalah bagi memberi mesej kepada Korea Utara
bahawa AS komited untuk mempertahankan Korea Selatan daripada sebarang
serangan.
Pesawat-pesawat yang tidak boleh dikesan dengan radar itu dibuat
selepas Korea Utara memutuskan talian komunikasinya dengan Korea
Selatan.
Roket-roket milik Korea Utara juga diletakkan dalam keadaan
berjaga-jaga untuk menyerang pangkalan-pangkalan AS di rantau Pasifik.
Tindakan Korea Utara itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu melakukan sekatan barang mewah ke negara itu selepas rejim
Pyongyang melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu.
Pesawat-pesawat B-2 Stealth itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri.
Ia terbang sejauh 20,800 kilometer ke Korea Selatan.
Menurut Tentera AS dalam satu kenyataan, sebutir bom palsu digugurkan
dari pesawat itu di sebuah lokasi di selatan Korea Selatan sebagai
sebahagian daripada latihan ketenteraan.
Kedua-dua pesawat itu menyertai latihan ketenteraan dengan tentera Korea Selatan yang telah mencetuskan kemarahan Korea Utara.
Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan
30-an selepas kematian bapanya, Kim Jong-il pada April tahun lalu
mengancam untuk melancarkan Perang Korea Kedua dan serangan nuklear ke
atas Korea Selatan dan AS. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan