29 Mac 2013

Pecah cermin kereta bapa

17 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Goh Kok Liang

Goh Kok Liang
TELUK INTAN - Gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan bapa kandung yang tidak memberikan hasil jualan kelapa sawit menyebabkan seorang lelaki sanggup mengamuk di hadapan rumah mangsa, di Langkap, kelmarin petang, dekat sini.

Suspek anak ke 10 daripada 13 adik-beradik itu mengamuk apabila dia mengetahui bapanya menyerahkan sebahagian hasil jualan kelapa sawit kepada adik bongsunya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek berusia 45 tahun telah datang ke rumah mangsa yang juga ayah kandung yang berumur 91 tahun, kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.

Menurutnya, suspek menekan loceng pintu pagar namun ayah suspek enggan membuka pintu tersebut.

"Berang dengan tindakan mangsa yang enggan membuka pintu, suspek bertindak mengutip batu yang ada di luar kawasan rumah lalu membaling ke arah dalam rumah.

“Tindakan oleh suspek telah menyebabkan cermin belakang tiga kereta dan sebuah pacuan empat roda yang diletakkan di dalam laman rumah mangsa pecah," katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, suspek tidak berpuas hati dengan agihan hasil jualan kelapa sawit yang dipercayai hanya diberikan kepada anak bongsu tetapi tidak kepada anak-anak yang lain.

Menurutnya,  mangsa tinggal bersama-sama isterinya dan anak bongsunya, pernah mengalami  kejadian sama sebelum ini apabila suspek mengamuk pada tahun lalu.

Beliau berkata, bimbang kejadian  tidak diingini berulang kembali, mangsa membuat satu laporan polis berkenaan kejadian yang berlaku.

“Pihak polis akan mencari suspek yang kini tinggal di Ipoh bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: