KUCHING – Sempena 32 tahun beliau menyandang jawatan Ketua Menteri
Sarawak hari ini, Tan Sri Abdul Taib Mahmud melahirkan harapan untuk
melihat negeri ini terus maju dan mencapai lebih banyak kemajuan melalui
program transformasi, khususnya dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Beliau berkata langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan ialah
mengubah masyarakat supaya bersikap lebih progresif dan menyediakan
lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk mereka.
“Saya harap Sarawak akan lebih maju, dengan peluang dalam masyarakat
lebih bersepadu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis
makan tengah hari anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) bertemakan
“Memperkasa Masyarakat Bagi Membentuk Masa Depan Sarawak” di sini hari
ini.
Setelah berada 13 tahun dalam kerajaan persekutuan, berkhidmat di
bawah empat perdana menteri dengan menyandang pelbagai jawatan, Taib
mengambil alih teraju kerajaan negeri pada 26 Mac 1981 dengan kesedaran
bahawa Sarawak perlu menggubal satu strategi bukan sahaja untuk menuju
ke arah kemajuan, malah mengejar kejayaan seperti yang dicapai negeri
lain di semenanjung.
Katanya Sarawak juga akan menambah bilangan anggota majlis pada tahun
ini, yang dipilih daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, untuk
menganggotai kerajaan tempatan bagi mewakili pandangan rakyat negeri
kini.
Taib berkata langkah itu juga akan memberi peluang kepada orang ramai
yang ingin berbakti kepada masyarakat dengan menangani isu yang dekat
di hati mereka, termasuk berkaitan amal kebajikan, kesaksamaan
masyarakat, ekonomi dan budaya.
Ketika ini, anggota majlis yang dilantik hanya terdiri daripada kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN).
Ditanya sama ada ia juga akan melibat persatuan wartawan tempatan
memandangkan anggotanya begitu bersemangat untuk berkhidmat kepada orang
ramai, Taib menjawab :”Okay, tak ada masalah, tapi perkara yang menjadi
persoalan ialah sama ada anda mempunyai masa atau tidak”.
Beliau berkata selepas pilihan raya umum 2008, kerajaan amat
menyedari peranan golongan muda, yang mewakili kira-kira 40 peratus
penduduk, dalam menentukan pendapat umum serta masa depan masyarakat.
Untuk memperkasa masyarakat setempat bagi membolehkan mereka
menyalurkan buah fikiran melalui
pendapat awam, AZAM juga perlu bersikap
berkecuali dalam memilih isu yang ingin diperjuangkannya, kata Taib,
yang juga penaung AZAM, ketika memperkenalkan logo sambutan ulang tahun
ke-30 pergerakan itu pada majlis berkenaan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan