29 Mac 2013

Sawa jadi ‘penunggu’ tandas

17 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Sawa jadi ‘penunggu’ tandas

Anggota JPAM daerah Kerian berhempas-pulas cuba menundukkan ular sawa yang bertindak agresif supaya dapat dimasukkan ke dalam guni.
BAGAN SERAI - Perbuatan tergesa-gesa seorang pesara guru untuk membuang air hampir mengundang tragedi apabila dia terkejut melihat seekor ular sawa seberat 50 kilogram hampir menyerangnya di tandas luar rumah pusaka di Kampung Teluk Medan, di sini, kelmarin.

Penolong Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM) daerah Kerian, Irfan Safwat berkata, dalam kejadian itu, pengadu yang dikenali sebagai Zainal dan keluarganya berkunjung ke rumah pusaka untuk meninjau keadaan kediaman yang tidak berpenghuni sejak kematian ibu bapanya.

Menurutnya, kehadiran ular sawa sepanjang lebih empat meter di dalam tandas luar rumah itu hanya disedarinya ketika dia hendak menggunakannya dan terkejut apabila haiwan itu cuba bertindak balas setelah pintu terbuka.

“Pengadu memaklumkan dia sempat menutup semula pintu tandas itu dan segera membakar tayar motosikal terpakai dengan harapan bau asap yang terhasil mampu menghalau ular  berkenaan daripada terus menjadi ‘penunggu’ di situ.

“Bagaimanapun, taktik yang digunakan pengadu tidak berhasil dan dia segera menghubungi JPAM hari ini (semalam) untuk menangkap haiwan berkenaan,” katanya sewaktu ditemui media, di sini, semalam.

Irfan berkata, ular sawa jenis batik itu ditangkap lebih kurang jam 10.25 pagi setelah menerima panggilan pengadu lebih kurang jam 10 pagi semalam.

Jelasnya, empat anggota JPAM dikerah menangkap haiwan tersebut dalam tempoh lebih 20 minit dan ia dipercayai yang terbesar pernah ditangkap di daerah ini bagi tahun ini.

“Kami menghadapi situasi yang agak mencabar untuk menangkapnya kerana ia sangat besar dan melawan sebelum berjaya dimasukkan ke dalam guni,” katanya.

Irfan berkata, ular sawa itu dihantar ke pejabat JPAM daerah Kerian sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Berikutan penangkapan reptilia itu, Irfan menegaskan JPAM daerah Kerian berjaya mencatatkan jumlah keseluruhan tangkapan ular pelbagai spesies sebanyak 80 ekor sejak Januari lalu.

“Peningkatan bilangan tangkapan ular untuk tempoh tiga bulan pertama tahun 2013 berbanding tangkapan tempoh sama tahun 2012 berlaku disebabkan faktor perubahan cuaca selain permulaan musim penanaman padi di seluruh daerah Kerian.

“Kami turut menggesa orang ramai segera menghubungi talian kecemasan 999 jika premis atau kediaman mereka dicerobohi haiwan berbisa dan berbahaya,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: