18 April 2013

Calon pemuda Kelantan bertambah 100 peratus

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

MACHANG: Lebih ramai lagi tokoh muda diketengahkan PAS Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri dan parlimen.


Kali ini seramai enam calon yang diketengahkan Pemuda PAS negeri diumumkan secara rasmi pada malam tadi.

Mereka iaitu Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Bendahari Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary, Ketua Pemuda PAS Pasir Mas Rozi Muhammad (kiri) dan Ketua Pemuda PAS Pasir Puteh, Mohd Nazlan Mohd Hasbullah (kanan).

Manakala calon pemuda yang bertanding semula Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman dan timbalannya, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Abdul Latiff berkata, peningkatan seratus peratus calon pemuda kali ini jika dibandingkan pada PRU12 membuktikan hasrat anak muda Kelantan diterima pimpinan PAS negeri.

“Anak muda Kelantan sangat berharap lebih ramai kalangan mereka dapat membawa suara ke peringkat Dun atau parlimen.

“Ini menggambarkan kesungguhan anak muda mempertahankan kerajaan negeri dan menjejaki Putrajaya terbukti dipandang serius,” ujar beliau selepas majlis pengumuman nama calon di padang Majlis Daerah Machang malam tadi.

Beliau berkata, dengan adanya muka baru dalam kalangan pemuda lebih banyak lagi agenda untuk golongan muda dapat digemblengkan.

Pada pilihan raya kali ini Ahmad Baihaki berpindah dari kerusi Dun Pasir Tumbuh ke parlimen Kubang Kerian, Nik Abduh di Parlimen Pasir Mas dan Ahmad Marzuk di Parlimen Bachok.

Abdul Latiff pula mempertahankan Dun Mengkebang, Mohd Nazlan (Limbongan) dan Rozi (Tendong).

“Saya bagi pihak Pemuda PAS Kelantan merakamkan berbanyak terima kasih di atas sokongan padu pimpinan parti yang bersetuju menambah jumlah kerusi diwakili Pemuda.

“Kami berikrar akan sentiasa berjuang bersama-sama calon-calon PAS yang lain untuk mempertahankan kerajaan negeri ini serta misi menawan Putrajaya, Insya Allah,” katanya.

PKR pula mengetengahkan Ketua Angkatan Muda Negeri, Azihan Che Seman bertanding di Dun Nenggiri.

Di peringkat Dun Kelantan menampilkan 14 calon mewakili golongan ulama, professional (11 calon) dan aktivis masyarakat 20, manakala peringkat parlimen ulama (tiga), professional (lapan) dan aktivis masyarakat (tiga).

harakahdaily/-

Tiada ulasan: