7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Daripada, 2,000 borang tersebut, kira-kira 800 dibeli oleh calon bebas.
PUTRAJAYA: Hampir 2,000 borang penamaan calon telah dibeli oleh calon parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daripada jumlah itu, 800 borang dibeli oleh calon bebas.
“SPR menjangkakan jumlah itu akan meningkat memandangkan masih ada lagi masa untuk pembelian borang itu sebelum hari penamaan calon Sabtu ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan media, SPR menjangkakan ramai calon bebas akan bertanding pada pilihan raya ini.
“SPR juga telah mengenal pasti kawasan yang dijangka panas dan bekerjasama dengan polis bagi memastikan aspek keselamatan terjamin,” katanya.
Justeru itu SPR menasihatkan calon bertanding tidak membawa penyokong yang ramai untuk mengelakkan berlaku insiden provokasi.
Pada masa sama, Abdul Aziz mengingatkan calon bertanding untuk menyerahkan borang pencalonan mengikut masa ditetapkan iaitu 9 hingga 10 pagi pada hari penamaan calon.
Semua calon juga perlu mengisi Borang 5 (Akaun Berkanun Orang Yang Dinamakan Sebagai Calon Pilihan Raya bagi Parlimen) dan Borang 5A (Akaun Berkanun Orang Yang Dinamakan Sebagai Calon Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)).
Wang deposit
Selain memastikan semua syarat kelayakan dipatuhi calon turut dinasihat untuk membayar deposit iaitu RM10,000 bagi Parlimen dan 5,000 bagi DUN sehari sebelum dan hanya membawa resit pada hari pencalonan.
“Ini bagi memudahkan lagi urusan namun sekiranya calon ingin membayar pada hari penamaan calon hanya bank draf dan tunai sahaja diterima. Cek persendirian tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, Bernama juga melaporkan bahawa Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) akan bertanding di kerusi parlimen Alor Setar dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata di Kedah pada pilihan raya umum kali ini.
Timbalan Presidennya bagi Semenanjung Malaysia, Jawahar Raja Abdul Wahid berkata kedua-dua kerusi itu akan ditandingi beliau sendiri.
“Pencalonan saya ini mendapat restu pucuk pimpinan parti,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurut Jawahar, ini merupakan kali pertama parti Bersama yang diasaskan di Sabah itu bertanding di Semenanjung.
Barisan Nasional (BN) meletakkan penyandang Datuk Seri Chor Chee Heung untuk mempertahankan kerusi Parlimen Alor Setar manakala pembangkang pula mencalonkan Pengerusi Undang-undang PKR, Gooi Hsiao Leung.
Bagi DUN Bakar Bata, BN mencalonkan penyandang Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan akan ditentang calon PKR Mohd Eekmal Ahmad.
FMT/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan