18 April 2013

Terkilan tidak dapat mengundi

Terkilan tidak dapat mengundi7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BENTONG – Seorang pesara polis terkilan kerana namanya tidak tersenarai sebagai pengundi berdaftar menerusi semakan yang dibuat di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

V Supramaniam, 61, berkata, dia bersara dari perkhidmatan polis pada 2008 di Balai Polis Temerloh. Katanya, sebelum ini dia menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi menerusi undi pos.

“Pada tahun lalu, saya ada membuat semakan di sebuah pejabat pos untuk mendaftar sebagai pengundi baru, namun dimaklumkan nama sudah berada di dalam sistem serta tidak perlu berdaftar.

“Namun begitu, minggu lalu, saya membuat semakan semula di laman web SPR dan mendapati nama tiada di dalam sistem,” katanya.
Menurutnya, susulan itu dia mengemukakan aduan kepada pihak SPR berhubung perkara itu menerusi emel.

Katanya, pada 15 April lalu, dia mendapat maklum balas daripada pihak SPR dan dimaklumkan namanya sebagai pengundi pos sudah dipotong pada September 2010.

“Dalam masa sama, mereka meminta saya mendaftar semula sebagai pemilih biasa di pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos dan unit bergerak pejabat pilihan raya.

“Saya terkilan kerana nama sudah dipotong sejak 2010, namun saya tidak pernah menerima sebarang surat sepanjang tempoh itu dan diminta mendaftar sebagai pemilih biasa,” katanya.

Supramaniam berkata, dia amat berharap dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurutnya, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, satu undi adalah sangat penting bagi menentukan pemerintahan negara.

“Jadi saya amat berharap agar dapat diberi peluang mengundi pada kali ini,” katanya

sinar/-

1 ulasan:

Asrul Sani berkata...

Tuan hanya perlu memberitahu pegawai SPR bahawa Tuan adalah penyokong tegar BN dan amat kecewa jika tidak dapat mengundi........