7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
TANJONG KARANG - Rutin harian menyiram bunga di hadapan rumah setiap petang menjadi penyelamat buat seorang warga emas, Taslim Nor, 62, daripada menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian di rumahnya di Jalan Sungai Gulang-Gulang 6/5, di sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Taslim yang juga penghidap Parkinson, dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana ketika kejadian, dia berada di luar rumah sebelum penduduk melaporkan kebakaran berpunca dari dalam rumah itu yang marak secara tiba-tiba.
Ketua Operasi, Pegawai Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Musa Masud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Bilik Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada jam 7.05 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Dua jentera dari Balai Bomba Tanjong Karang dan Sekinchan dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Keadaan api ketika itu sudah marak hingga memusnahkan keseluruhan rumah kelas C tersebut.
“Anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran, namun punca dan kos kerugian termasuk sebuah kereta, masih dalam siasatan,” katanya, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Selangor, Mohd Zamri Kahar berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa penduduk terbabit dan turut memberikan sumbangan kilat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.
“Difahamkan, mangsa kebakaran kini ditempatkan sementara di rumah anaknya di Taman Desa Mawar,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri dan Lembaga Zakat Selangor turut tidak ketinggalan menziarahi mangsa dan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan