18 April 2013

Hasrat berehat berakhir maut

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SERDANG – Kejam. Itulah situasi berlaku apabila seorang lelaki bukan sahaja ditembak dengan beberapa das tembakan, tetapi juga dikelar di bahagian leher sebelum mayatnya dibiarkan di depan sebuah kilang di Jalan 6/1 kawasan perindustrian Serdang, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, P Raman, 34, dikatakan ke tebing sungai berkenaan untuk berehat bersama beberapa rakannya selepas menghadiri sebuah parti di tempat lain.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, mangsa yang baru dua minggu bekerja sebagai penghantar surat di Kajang, bersendirian ke tebing Sungai Kuyoh menaiki motosikal.
Menurutnya, mangsa dikatakan mahu berkumpul bersama rakan-rakannya untuk merehatkan diri, namun belum sempat dua lagi rakannya sampai, mangsa terlebih dahulu diserang suspek.

“Rakan mangsa yang tiba selepas itu, terkejut apabila mendapati dia terbaring di atas sofa depan sebuah kilang, lengkap berpakaian dalam keadaan darah masih mengalir di bahagian leher. Hasil pemeriksaan juga menemui lima kelongsong dan satu anak peluru,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dan mangsa disahkan mati di tempat kejadian, malah suspek juga belum diketahui dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dengan kesan tikaman di leher dalam sebuah longkang berhampiran padang bola di Jalan Tiong 7, Bandar Puchong Jaya, kelmarin.

Abd Razak berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut, kelmarin dan pihaknya masih mengenal pasti motif kejadian.

Mangsa, Parhwine Lucia Mejia Kaur ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka kecil di tengah bahagian leher.

“Barangan peribadi mangsa ada di tepi padang berhampiran tempat mayat ditemui. Kes  disiasat di bawah Seskyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: