18 April 2013

Sebelum bubar dah berlubang

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

'Sebelum bubar dah berlubang'
Mohd Adnan (kanan), Sajali (dua, kanan) dan Azhar (baju kuning) menunjukkan kedalaman lubang susulan bahagian bawah jalan berkenaan lopong dan menunggu masa runtuh.
 
REMBAU – “Sebelum bubar Parlimen lagi, jambatan di kampung ini sudah berlubang dan sehingga kini ia masih belum lagi dibaik pulih walaupun lubang semakin dalam,” luah seorang penduduk, Sajali Kasbiran, 53, ketika ditemui di Kampung Rendah, dekat sini, semalam.

Sajali berkata, dia dan penduduk kini semakin bimbang melihat keadaan lubang di jambatan berkenaan yang semakin besar sehingga menyebabkan struktur jalan mendap sedikit demi sedikit.

“Sampai bila kerosakan ini tidak diperbaiki oleh pihak bertanggungjawab, sedangkan ia merupakan jalan utama penduduk dari beberapa buah kampung yang menjadikannya jalan pintas menuju ke Pekan Rembau.

“Tak kan nak tunggu perkara buruk berlaku baru ia hendak diperbaiki sedangkan kerosakan ini berlaku sejak awal tahun ini lagi dan dua minggu lepas strukturnya hanya menunggu masa untuk runtuh,” katanya.

Penduduk, Mohd Adnan Hamid, 60,  berkata, dia juga bimbang kerana jalan berkenaan sentiasa dilalui penduduk termasuklah kanak-kanak yang mahu pergi dan pulang ke sekolah.

“Kalau orang kampung yang menggunakan laluan ini, mereka sedar dengan kerosakan ini tetapi kalau orang luar, kita gusar mereka terutamanya penunggang motosikal terjatuh ke dalam lubang ini.

“Malah, kira-kira satu kilometer dari sini berhampiran masjid di kampung ini terdapat kawasan pili bomba yang pecah dan hanya ditutupkan dengan papan tanda sahaja bagi mengelakkan penduduk terjatuh ke dalamnya.

Sementara itu, Azhar Alias, 39, berkata, mereka tidak mampu lagi menunggu tindakan pihak bertanggungjawab kerana masalah itu sudah diajukan melalui program membincangkan masalah kampung.

“Namun, hampa hingga ke hari ini tiada tindakan. Kami selaku penduduk amat bimbang melihat lubang yang semakin besar dan mendalam selain sebahagian jalan yang sudah mendap sedikit demi sedikit.

“Oleh itu, kita harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil serius mengenai masalah ini kerana kita tidak mahu perkara buruk berlaku semasa penduduk melalui jambatan ini, " katanya

sinar/-

Tiada ulasan: