18 April 2013

Teka-teki siapa akan naik jadi MB

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Tok nujum

Makin dekat hari mengundi, makin sibuk tok nujum politik menjawab teka-teki. Beberapa hari lepas, mereka sibuk menelek bakal calon. Sekarang calon sudah tahu,, sibuk pula siapa yang akan jadi menteri, menteri besar atau ketua menteri.

Ramalan tok nujum sangat penting bagi kaki lobi. Inilah masa menabur budi dan menonjolkan body. Kalau ramalan menjadi, nanti boleh tuntut janji. Kalau janji tidak ditepati, itu alasan lompat parti.

Kalau dulu, lompat parti orang caci, sekarang tidak lagi. Orang lompat parti sahamnya tinggi. Apa lagi yang mengaku ada rahsia lawan berpeti-peti. Makin banyak peti, saham makin tinggi. Untung nasib, boleh jadi menteri.

Mukhriz dibantah?

Balik kita kepada teka-teki tok nujum, siapa yang akan naik jadi menteri besar di Kedah, Perlis, Johor dan Selangor? Siapa pula yang akan ganti Ali Rustam di Melaka?
Kedah, siapa lagi kalau bukan Mukhriz Mahathir. Walaupun khabarnya ada bantahan, rasanya bantahan takkan ke mana. Lambat laun akan senyap juga. Apabila yang dibantah naik berkuasa, siapa  berani bersuara?

Chu atau Azlan?

Di Perlis, persaingan lebih terbuka. Antara Chu (Ismail Kassim), adik Shahidan dengan Azlan Mat, tok nujum pun bergeleng kepala untuk teka siapa ganti  Md Isa. Shahidan seperti sudah ada 'deal' untuk tinggal kerusi Dun beri laluan adiknya bertanding di Tambun Tulang. Azlan pula, bekas pegawai tinggi di Putrajaya, seperti ada misi khas untuk balik bertanding pilihan raya.

Masing-masing ada kelebihan dan bagi tok nujum, peluang kedua-duanya sama rata.

Gentleman Ghani

Di Johor, hal siapa yang akan naik jadi menteri besar bukan lagi isu panas sebaik Khaled Nordin diumum bertanding kerusi negeri. Yang lebih panas adalah sama ada Ghani Othman yang sanggup bakar jambatan untuk cabar Lim Kit Siang, boleh tumpaskan  veteran DAP itu di Gelang Patah.

Tidak ramai orang politik yang berjiwa besar seperti Ghani. Sesiapa yang sudah jadi ketua, lazimnya hanya sanggup memperjudikan orang lain, bukan diri sendiri.

Namun Ghani cukup gentleman. Dia sendiri sanggup bertaruh nasib untuk mempertahankan kawasan otak-otak yang 52 peratus pengundi Cina itu di tangan BN. Orang lain ada 'berani' untuk buat seperti Ghani?

Kerana itu, kita boleh tabik 'spring' kepada Ghani yang sama ada menang atau kalah, dia tetap boleh dianggap hero Umno!

Siapa ke tingkat 21 SUK Selangor?

Di Selangor, siapa yang akan jadi MB jika ditakdirkan BN menang? Sekarang empat nama sudah disenarai pendek. Senarai pendek siapa, wallahua'lam. Seperti juga peluang BN untuk merampas balik negeri yang 50-50, peluang calon menteri besar daripada BN, Subahan Kamal, Shamsudin Lias, Nawawi Zin dan Bushro Mat Johor pun juga sama rata.

Di pihak kerajaan sedia, kalau masih kekal berkuasa, hampir pasti Azmin Ali pula yang akan naik ke tingkat 21 Bangunan SUK. Tunggu tengok sudah!

Deris pindah ke Seri Bendahara?

Di Melaka, Idris Haron teratas dalam senarai untuk ganti Ali Rustam. Idris memang sudah lama dididik Ali untuk jadi penggantinya. Sekarang sampai masa untuk  dia serah baton.

Kalau Ahmad Hamzah bertanding kerusi Dun, mungkin dia paling sesuai. Ahmad orang lama, menantu Tun Ghafar Baba, banyak pengalaman pula.

Meletak Ahmad bertanding kerusi Parlimen  Jasin lebih mencerahkan peluang Idris untuk ke Seri Bendahara.

Namun ada juga nama lain dalam senarai simpanan. Kata sesetengah pemerhati, Abdul Ghafar Atan juga layak.

Ada pula tok nujum yang kata, untuk lebih serasi, perlu ada nama 'Tamby Chik' pada bakal ketua menteri. Ini kerana sesiapa juga yang jadi ketua menteri, pasti dibanding dengan Rahim Tamby Chik. Maka Latiff Tamby Chik yang bertanding di kerusi Telok Mas, pun juga dikatakan ada peluang.

Sinar/-

Tiada ulasan: