18 April 2013

Jangan ingat wanita tiada perasaan - Kamilia Ibrahim

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ketika wanita membantah budaya kempen lucah, Wanita Umno Malaysia pula dipinggirkan sama sekali oleh Umno.

Selepas Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak bertanding kerana skandal NFC, bakal pengganti beliau, Datuk Kamalia Ibrahim (gambar), Timbalan Ketua Wanita Umno juga tidak dicalonkan kali ini.

Kemarahan wanita Umno ini berlaku ketika pelbagai  NGO wanita kesal dengan bentuk kempen yang dibuat oleh musuh politik Pakatan Rakyat.

Hari ini, 14 NGO dan tiga personaliti terkenal membuat bantahan terhadap penyebaran video lucah di media khasnya facebook untuk meraih sokongan kepada parti yang memusuhi Pakatan.

Kamilia, seorang peguam yang berjaya, yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, beliau sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita Umno dan BN sepatutnya diberikan peluang bertanding di Parlimen supaya dapat terlibat sebagai pembuat dasar dan keputusan politik.

“Tindakan kepimpinan BN memeranjatkan saya dan wanita lain. Saya kecewa kerana tidak ada pengiktirafan sewajarnya diberi kepada pemimpin Wanita Umno dan BN yang mewakili seluruh wanita Umno dan BN,” katanya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Selain beliau, turut tidak mendapat tempat kali ini adalah  beberapa ketua Wanita Umno negeri. Antaranya  Kedah, Johor dan Terengganu. Turut tidak mendapat tempat adalah Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

“Kami banyak berjasa, tetapi tidak diberikan tempat. Adakah kepimpinan tertinggi tidak mengiktiraf kelayakan yang kami ada. Kebanyakan kami golongan profesional,” katanya.

“Pucuk pimpinan parti jangan menganggap wanita tidak kisah dengan pencalonan yang diumumkan baru-baru ini. Jangan ingat wanita tidak ada perasaan,” katanya kesal.

“Jika permintaan tidak diberi, wanita mempunyai pelbagai pilihan lain kerana perjuangan saya berpandukan negara, agama dan bangsa. Sekiranya pintu tidak dibuka kepada saya, saya akan perjuangkan di tempat lain.

“Pintu ditutup, mungkin ada pintu lain sama ada saya akan pecahkan atau membuat sendiri. Saya mungkin pertimbangkan pilihan lain kerana perjuangan saya tidak perlu berakhir di tahap ini sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: