18 April 2013

Pas Melaka: BN ketepikan golongan agama

7 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


 Kamaruddin Sidek

Kamaruddin Sidek
MELAKA - Barisan Nasional (BN) Melaka dilihat mengetepikan golongan berlatar belakangkan agama dalam senarai calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

Berbeza dengan PRU sebelumnya, sekurang-kurangnya seorang daripada golongan terbabit disenaraikan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, situasi tersebut memperlihatkan BN khususnya Umno masih mengekalkan tradisi lama apabila golongan agama sukar mendapat tempat dalam konteks kepimpinan parti itu di Melaka.

“Umno masih memandang sepi golongan agama sedangkan ketika sesi ceramah-ceramah Umno sering menjadikan golongan berlatar belakangkan agama sebagai bahan untuk menangkis setiap hujah Pas.

“Tetapi bila membariskan calon sebenar, mereka jelas tidak mengiktiraf golongan berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai barisan calon yang diperkenalkan BN negeri semalam.

Beliau turut menegaskan Umno tidak layak memainkan isu menyentuh soal agama.

“Sebenarnya BN memang tidak berminat dengan golongan agama ini justeru Umno Melaka tidak layak untuk memainkan isu menyentuh soal agama.

“Jika ia berlaku seolah-olah bagaikan tidak kena, sedangkan mereka sendiri tidak berminat,” katanya.

Pada musim PRU12 lalu, Umno membariskan salah seorang yang berlatarkan agama iaitu Adun Lendu, Datuk Idderis Kassim yang meninggal dunia bulan lalu.

Sinar/-

Tiada ulasan: