19 April 2013

Husam: Dap boleh guna lambang Pas

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pengerusi Jawatankuasa, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa

Datuk Husam Musa
PUTRAJAYA -  Pas mengalu-alukan rakan sekutunya,  DAP menggunakan lambangnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, partinya terbuka sekiranya  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menghalang DAP menggunakan lambang sendiri.

"DAP boleh guna lambang Pas pada PRU13 ini sekiranya RoS tidak membenarkan parti demokrat itu menggunakan lambang sendiri.

"Penggunaan lambang Pas ini secara tidak langsung menampilkan kesatuan dalam dalam Pakatan Rakyat (PR)," katanya ketika sidang media hari ini.

Sebelum ini, RoS tidak mengiktiraf ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dilantik dalam pemilihan pada 15 Disember lalu ekoran pertikaian yang berlaku selagi siasatan masih berjalan.

Ini susulan daripada ROS tidak berpuas hati mengenai pelantikan ahli CEC dengan betul berdasarkan penyata barisan pemegang jawatan yang dikemukakan oleh DAP.

Mengulas perkara sama, Husam yang akan bertanding kerusi Parlimen Putrajaya berkata,  beliau juga hairan dengan tindakan RoS yang menghalang DAP menggunakan logo parti itu sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan parti itu tidak berhadapan masalah dan boleh bertanding dalam pilihan raya ini.

Sementara itu, pada majlis sama Husam turut mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) agar menggunakan tanah milik kerajaan agar harga jualan rumah dikurangkan kepada RM 100,000.

"Saya turut cadangkan penggunaan teknologi baru dalam sistem pembinaan kerana kaedah ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga masa hampir 50 peratus daripada tempoh pembinaan konvensional." katanya.

Selain itu, beliau turut mengemukakan isu perbezaan gaji kakitangan penjara dibandingkan dengan polis.

"Isunya, saya mencadangkan kajian untuk menyelaraskan semula gaji kakitangan penjara mengikut gaji polis.

"Memandangkan Putrajaya merupakan pusat pentadbiran negara yang dihuni penjawat awam, saya sangat menitikberatkan rungutan guru-guru yang berdepan bebanan kerja yang banyak," katanya.

Menurut beliau, sekiranya PR berjaya merampas Putrajaya perubahan yang bakal dibawa ialah mewujudkan sistem persekolahan satu sesi untuk semua sekolah, mengecilkan nisbah guru dan murid, mewujudkan jawatan pembantu pembantu guru dan peruntukan penyelenggaraan kemudahan.

Sinar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ROS memberikan jawapan bahawa mereka tidak menghalang penggunaan lambang dap dan dap masih lagi sebuah pertubuhan berdaftar dan tidak di batalkan, maka persolannya kenapa lambang pas, kenapa tidak lamban pkr, kenapa tidak lambang-lambang lain. Kenapa lambang PAS....,