19 April 2013

Penolakan terhadap calon Umno semakin menjadi-jadi

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Lebih 50 pengundi dari DUN Lenggeng membantah pencalonan Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail.
LENGGENG: Penolakan terhadap calon Umno di Negeri Sembilan semakin menjadi-jadi sejak dua hari lepas.

Jika kelmarin berlaku bantahan besar-besaran oleh ahli Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol dan DUN Palong, petang  semalam berlangsung pula satu lagi bantahan di DUN Lenggeng.
Lebih 50 pengundi dari DUN Lenggeng membantah pencalonan Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail yang akan  bertanding di kerusi DUN Lenggeng pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Perkembangan terbaru ini agak mengejutkan kerana Ishak dianggap calon popular di DUN Lenggeng kerana beliau pernah menjadi Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng selama tiga penggal berturut-turut bermula 1995, 1999 dan 2004 sebelum digugurkan pada  tahun 2008 (PRU-12).
Dikalangan orang-orang Umno, Ishak sering dikatakan sebagai seorang yang amat rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun  Razak. Maka pemilihan Ishak sebagai calon PRU Umno DUN Lenggeng memang sudah dijangka sejak dari awal lagi.
Wakil Jawatankuasa Bertindak Badan Bukan Kerajaan DUN Lenggeng, Mohd Azhari Jasad berkata, mereka bukannya penentang Barisan  Nasional (BN) dan Umno, malah penyokong tegar parti itu namun mereka kecewa dengan calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan Umno.
“Bagi kami calon yang dipilih ini bukan calon ‘winnable candidate’ kerana rakyat Lenggeng sendiri tahu bahawa dia pemimpin yang  bermasalah.
“Malah golongan muda juga menolak Ishak kerana faktor usia dan ‘trade mark’ sebagai calon ‘kitar semula’ yang sepatutnya tidak  melepasi saringan kesihatan dan beberapa perkara lain.
“Pemilihan Ishak akan mengundang kemarahan pengundi DUN Lenggeng yang dikhuatiri akan membawa kekalahan kepada BN,” kata  Mohd Azhari.
Mohd Azahari berkata DUN Lenggeng adalah kubu kuat BN dan hidup mati masyarakat di situ adalah bersama BN.
“BN sekarang ini berusaha kuat merampas DUN Ampangan dan DUN Sikamat daripada pembangkang, tapi jangan pula BN hilang DUN  Lenggeng ibarat yang ‘dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.’
“Malah satu memorandum bantahan turut akan dihantar kepada Najib yang juga presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin pada hari esok (Jumaat),” katanya.
Calon bebas
Sementara itu turut serta menyatakan bantahan adalah Pemuda BN DUN Lenggeng yang turut memberi amaran bahawa calon bebas akan  ditampilkan jika BN terus memilih Ishak sebagai calon.
Ketua Pemuda BN DUN Lenggeng,  Zool Amali Hussin berkata beliau akan mengambil tindakan keluar parti dan akan menampilkan  seorang calon bebas jika Ishak tidak diganti dengan calon baru.
“Kita sudah ada calon bebas dan akan perkenalkan semasa penamaan calon nanti iaitu orang lama dan orang kuat Umno dan lebih baik  daripada Datuk Ishak, jika suara kami tidak dilayan.
‘Ini suara akar umbi. Kami pun bukan suka-suka buat bantahan tetapi kami mahu suara kami didengar oleh pucuk pimpinan parti kerana  tidak sewajarnya Ishak dipilih sebagai calon Lenggeng,” kata Zool Amali.
Kandungan memorandum tersebut menghuraikan apakah punca yang akan menyebabkan kekalahan BN di DUN Lenggeng jika Ishak terus  dipilih iaitu faktor undi protes yang akan memberi undi kepada calon bebas, undi rosak serta penyokong Umno dan BN tidak mahu keluar  mengundi.
Peserta bantahan mempamerkan pelbagai sepanduk seperti ‘Inikah Winnable Candidate untuk DUN Lenggeng? Yang Dipilih oleh PM’,
‘Kami pengundi Lenggeng membantah sekeras-kerasnya’, ‘Dia bukan calon boleh menang’, ‘Dia calon yang akan pecah belahkan undi
Umno di sini’ dan slogan yang paling menarik perhatian ialah ‘DAHJIB – DUN Lenggeng akan hancur jika Ishak Ismail Bertanding’.
FMT/-

Tiada ulasan: