8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
BANDAR TUN RAZAK – Seramai 20 ahli Pas membuat laporan polis selepas bendera parti itu di sekitar Bandar Tun Razak, Keratong 3 dan Keratong 5, dipatahkan dan diconteng dengan pelbagai lakaran menggunakan cat hitam.
Setiausaha Pas Kawasan Rompin, Ramli Awang Ahmad berkata, kejadian awal pagi semalam itu dipercayai dilakukan pihak yang terdesak kerana sanggup menggunakan politik kotor menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Menurutnya, Pas terpaksa membuat laporan polis setelah mendapati 10 bendera parti itu yang dipasang di sekitar bandar ini dan Felda Keratong 3 diconteng dengan pelbagai lakaran tidak sepatutnya.
“Perbuatan ini dipercayai bermotifkan politik kerana pihak berkenaan sanggup melakukan perbuatan tidak sepatutnya yang jelas mencemarkan proses demokrasi di negara ini,” katanya.
Ramli berkata, lebih mendukacitakan apabila bendera parti itu yang dipasang di simpang masuk Bandar Tun Razak, diconteng dengan lakaran yang boleh menimbulkan tanggapan negatif sekali gus mengganggu sensitiviti masyarakat Islam.
Menurutnya, perbuatan itu kali kedua berlaku selepas pihak berkenaan menggantung botol arak pada tali bendera parti itu sebelum pembubaran Parlimen lalu.
“Kami tidak tahu apakah motif sebenar gambar itu diconteng. Apatah lagi lukisan itu menggambarkan bentuk haiwan yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat khususnya umat Islam.
“Sebelum ini, kita tidak membuat laporan polis. Tetapi apabila kita biarkan, ia semakin menjadi-jadi seperti mahu mencabar kami dengan tindakan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, sebanyak 13 bendera Pas turut dipatahkan dan dibiarkan berselerak di Felda Keratong 5 hingga mengecewakan ahli serta penduduk setempat.
“Perbuatan ini dianggap biadab dan tidak menggambarkan politik bersih. Kita mahu polis jalankan siasatan dan ambil tindakan terhadap pihak terbabit,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ketika dihubungi Sinar Harian, enggan mengulas lanjut dan akan memaklumkan perkara tersebut hari ini.
Sinar/-
1 ulasan:
jng jual perkataan umat Islam dalam bendera parti...dan x semestinya lambang atau bendera itu mewakili orang Islam..keseluruhan nya secara am..
Catat Ulasan