19 April 2013

Kamalia: Sudah jatuh ditimpa tangga

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Bagai jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib bakal Ketua Wanita Umno Datuk Kamalia Ibrahim (gambar), yang bukan sahaja digugurkan sebagai calon malah dimalukan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Najib mendakwa, bukan BN tidak mahu bagi laluan kepada Kamalia tetapi dia tidak mahu bertanding di peringkat DUN.

Semalam Kamalia, seorang peguam yang berjaya, yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, beliau sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita Umno dan BN sepatutnya diberikan peluang bertanding di Parlimen supaya dapat terlibat sebagai pembuat dasar dan keputusan politik.

“Tindakan kepimpinan BN memeranjatkan saya dan wanita lain. Saya kecewa kerana tidak ada pengiktirafan sewajarnya diberi kepada pemimpin Wanita Umno dan BN yang mewakili seluruh wanita Umno dan BN,” katanya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Selain beliau, turut tidak mendapat tempat kali ini adalah  beberapa ketua Wanita Umno negeri. 

Antaranya  Kedah, Johor dan Terengganu. Turut tidak mendapat tempat adalah Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Di Terengganu tidak seorangpun wanita dicalonkan sebagai calon BN manakala di Kelantan hanya ada seorang berbanding dengan PAS yang meletakkan calon wanita termasuk di Parlimen.

“Kami banyak berjasa, tetapi tidak diberikan tempat. Adakah kepimpinan tertinggi tidak mengiktiraf kelayakan yang kami ada. Kebanyakan kami golongan profesional,” katanya.

Beliau juga kesal wanita tidak dianggap penting pada mata pemimpin BN khasnya Najib.

“Pucuk pimpinan parti jangan menganggap wanita tidak kisah dengan pencalonan yang diumumkan baru-baru ini. Jangan ingat wanita tidak ada perasaan,” katanya kesal.

Menjawab kenyataan itu, Najib, yang selama ini memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Kamalia gugur kerana beliau tidak rela bertanding di DUN Bukit Chandan, Perak.

Beliau menjelaskan tawaran kepada Kamilia adalah termasuk jawatan Exco, jika BN menubuhkan kerajaan, tetapi beliau turut menolaknya.

"Itu merupakan keputusan yang beliau telah buat dan tidak ada timbul sama sekali Naib Ketua Wanita (Umno) tidak diberi tempat atau tidak dihargai oleh BN. Beliau hendak (bertanding kerusi) Parlimen tetapi kita fikir, lebih sesuai Datuk Kamilia bertanding Dun dan (menjadi) Exco.

"Lagipun, mendiang Tun Lim Keng Yaik dulu sewaktu jadi presiden parti Gerakan, telah menerima jawatan Exco kerajaan negeri. Jadi, tidaklah merupakan jawatan tak penting sebenarnya sebagai Exco kerajaan negeri.

"Kalau diterima tawaran itu, Datuk Kamilia boleh memainkan peranan bukan sahaja dalam negeri tetapi juga dalam konteks negara," kata Najib.

Menurut sumber Umno, Kamalia melihat janji Najib seperti hendak memperbodohkan beliau kerana negeri Perak dicapkan sebagai negeri yang susah dipertahan BN kali ini.

“Tawaran itu betul-betul dikira menghina pada pandangan Kamalia. Ramai yang kesian kat beliau di dalam Umno. Disebabkan nasib Kak Ijat dan tidak pandai mengampu Kak Ros – itulah akibatnya,” kata sumber Umno itu.

Semalam Kamalia turut membayangkan bahawa beliau mungkin bertukar parti menjelang pilihanraya kerana permintaannya ditolak.

“Jika permintaan tidak diberi, wanita mempunyai pelbagai pilihan lain kerana perjuangan saya berpandukan negara, agama dan bangsa. Sekiranya pintu tidak dibuka kepada saya, saya akan perjuangkan di tempat lain.

“Pintu ditutup, mungkin ada pintu lain sama ada saya akan pecahkan atau membuat sendiri. Saya mungkin pertimbangkan pilihan lain kerana perjuangan saya tidak perlu berakhir di tahap ini sahaja,” katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: