19 April 2013

Teknik cepat mengaji, hafaz Quran

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Teknik cepat mengaji, hafaz Quran

Amran (tiga, kiri) bersama Hussamuddin memegang aksesori yang tersedia dalam beg kalis air pakej Jom Ngaji Upin & Ipin. Dua, kanan ialah Mohd Nasir.
Teknik cepat mengaji, hafaz Quran

Kakitangan Karangkraf mendengar penerangan menggunakan yang disediakan dalam pakej Jom Ngaji Upin & Ipin.
WATAK animasi popular dalam kalangan kanak-kanak ciptaan Les Copaque Production Sdn Bhd, Upin dan Ipin yang bersiaran di TV 9 bakal mengajar anak-anak kecil kita mempelajari al-Quran dengan cepat dan pantas.
Upin dan Ipin akan mengajar anak-anak membaca al-Quran melalui produk diperkenalkan oleh AJV Electronic berdasarkan pantauan daripada ustaz berpengalaman dan bertauliah.  
Pada 11 April baru-baru ini, bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, Selangor dilancarkan program Jom Ngaji Upin & Ipin dengan membawa moto "Cepat pandai, mudah faham, menyeronokkan".
Istimewa untuk anak-anak kecil

Produk Jom Ngaji Upin & Ipin bakal mencetuskan fenomena baru dalam mempelajari al-Quran dan penggunaan animasi Upin & Ipin ternyata menarik perhatian sesiapa sahaja untuk mendapatkannya.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Amran Ahmed berkata, sebelum ini masyarakat dimomokkan dengan penggunaan al-Quran digital dari negara China. Tetapi ramai dalam kalangan kita yang tidak memahami dengan jelas mengenai cara penyampaian mereka.

“Banyak faktor menyebabkan segelintir masyarakat kita tidak memahami cara penyampaian yang digunakan antaranya ialah dari segi bahasa pengantar, walaupun ada juga terselit terjemahan tetapi mungkin agak sukar dan memerlukan sedikit masa untuk memahaminya.
“Secara luarannya, produk ini kelihatan sama dengan produk-produk lain di luar sana, namun ia mempunyai banyak kelebihan dan berbeza.
Dalam pakej ini turut tersedia glosari yang terdiri dalam tiga bahasa iaitu bahasa Arab, Melayu dan Inggeris,” katanya dalam pertemuan bersama Rehal.

Amran menjelaskan keistimewaan yang ada dalam pakej Jom Ngaji Upin & Ipin ialah ia mengikuti silibus al-Quran Ujian Penilaian Kelas Kafa ( UPKK), intelligent readpen (pen digital) Jom Ngaji yang berfungsi sebagai alat bantuan belajar dan mengajar,
Juzuk Amma bertajwid, berwarna dan beraudio visual bagi membaca ayat al-Quran dengan kaedah betul, panduan kod warna disediakan untuk menerangkan kaedah bacaan seperti dengung, qalqalah, bacaan harakat dan sebagainya.

Tidak dilupakan juga pakej ini turut mengandungi buku ilmuwan cilik juzuk 30 dengan diselitkan banyaknya maklumat interaktif seperti terjemahan, keterangan surah, pengajaran, doa-doa pilihan dan juga infi menarik mengenai surah. Selain itu bagi mempercepatkan anak-anak seawal usia 3 tahun menghafaz surah juzuk amma bolehlah kiranya mencuba teknik al-Badar iaitu kaedah cepat pandai mengaji al-Quran dalam tempoh 24 jam.

Upin & Ipin tarikan utama

“AJV sudah menguji produk ini ke atas 20 kanak-kanak dan hasilnya adalah memberangsangkan apabila mereka mampu membaca al-Quran dalam tempoh dua hari sahaja.

“Pengaruh Upin & Ipin sangat besar dalam hidup anak-anak kecil. Pernah saya terdengar seorang ibu bercerita yang anaknya sebaik sampai di rumah jika dahulunya sibuk mencari alat permainan tetapi sekarang ini terus nak ngaji dengan Upin & Ipin,” katanya.
Amran berkata, AJV juga menggunakan pengaruh Kumpulan Media Karangkraf sebagai pengedar tunggal bagi Malaysia, Brunei dan Indonesia memandang syarikat penerbitan buku dan majalah ini sentiasa menjadi bualan ramai.

Selain menampilkan watak utama dua beradik itu, Jom Ngaji Upin & Ipin turut menggunakan suara watak pembantu seperti Kak Ros, Tok Dalang dan Opah dalam segmen tertentu. Antara spesifikasi produk yang didatangkan dalam pakej Jom Ngaji Upin &
Ipin ialah intelligent readpen, juzuk amma bertajwid, berwarna dan beraudio visual, buku ilmuwan cilik juzuk 30, buku teknik al-Badar (kaedah cepat mengaji al-Quran), penanda buku, aksesori: pengecas, fon telinga dan kabel USB.

Pakej Jom Ngaji Upin & Ipin dijual dengan harga berpatutan iaitu serendah RM399 seunit dan bakal menemui pengguna di pesta buku yang akan diadakan pada 26 April di Pusat Perdagangan  Dunia Putra (PWTC).
Amran menambah, pakej Jom Ngaji Upin & Ipin bukan hanya memfokuskan anak-anak kecil tetapi turut sesuai untuk semua peringkat usia. Tambahan pula ia mempunyai jaminan selama setahun dan jika mempunyai masalah semasa menggunakannya bolehlah menghubungi AJV Careline di talian +60383186216.
Pakej dijangka dapat sambutan

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (KMK) Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, pakej Jom Ngaji Upin & Ipin sangat menyakinkan kerana mempunyai item-item yang lengkap dan berkualiti. Beliau juga yakin produk ini dijangka mendapat sambutan.

“Produk ini amat membantu anak-anak untuk belajar mengaji, infonya bagus. Kita harap selepas ini dalam satu rumah mempunyai satu produk Jom Ngaji Upin & Ipin. Semoga lahir daripada keluarga itu seorang penghafaz al-Quran, InsyaAllah.
“Pakej Jom Ngaji Upin & Ipin akan dijual di Karangkraf Mall dan ia juga boleh dijadikan sebagai hadiah untuk majlis hari lahir atau majlis perkahwinan dan pelancaran besar-besaran akan diadakan bersempena pesta buku Karangkraf di PWTC pada 26 April sehingga 5 Mei nanti,” katanya semasa mencuba sendiri produk berkenaan.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Pengerusi KMK, Mohd Nasir Hamzah dan Ketua Media Baru dan Urusan Awam Les Copaque, Mohd Zarin Abdul Karim.

Sinar/-

Tiada ulasan: