8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA KURAU - Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan membina lima universiti berasaskan teknikal di negara ini jika berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, janji itu sebenarnya antara isi kandungan yang ditekankan dalam manifesto PR dan penting demi pembangunan sosioekonomi golongan muda di negara ini.
Menurutnya, pembinaan lima universiti tersebut dijangka mewujudkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai sektor industri, perkhidmatan dan produk kreatif, sekali gus memastikan lebih banyak pelabur luar datang melabur di negara ini.
“Penghasilan lebih ramai tenaga mahir turut dijangka akan memastikan sasaran mewujudkan lebih satu juta peluang pekerjaan kepada rakyat dapat direalisasikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing.
“Pada masa sama, ia juga membantu kerajaan PR memastikan perlaksanaan gaji minimum RM1,100 melibatkan semua sektor dapat direalisasikan, sekali gus memastikan taraf hidup rakyat negara ini meningkat,” katanya ketika berucap di hadapan lebih
500 hadirin di Batu 14, kelmarin.
Hadir sama, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrol Hisham Shahrin dan Ketua PKR cabang Parit Buntar, Abdul Yunus Jamhari.
Dr Mujahid turut menegaskan beliau akan mengedarkan kad laporan pencapaiannya sebagai wakil rakyat dan pemimpin PR selama lima tahun lalu kepada seluruh rakyat Parit Buntar selepas hari penamaan calon kelak.
Jelasnya, kad laporan pencapaian beliau sebagai wakil rakyat setebal lapan muka surat bakal memfokuskan hasil kerja dan pencapaiannya dalam membela nasib rakyat serta mengharumkan nama Parit Buntar bukan sahaja di peringkat kawasan, malah
di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Edaran kad laporan ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat Parit Buntar menilai sendiri mengenai sejauh mana keberkesanan saya dalam membela nasib mereka sepanjang lima tahun ini.
“Selain itu, saya juga akan memuat turun klip video penerangan berdurasi lima minit mengenai pencapaian saya sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar ke dalam laman sosial Youtube untuk tatapan seluruh penduduk,” katanya.
Beliau turut yakin segala kerja keras dan usaha turun padang dilakukan selama lima tahun sebelum ini membuka mata rakyat untuk kembali menyokong Pas dan PR, sekali gus membantu PR menawan Putrajaya kelak.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan