19 April 2013

70 maut loji baja meletup

8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

70 maut loji baja meletup
Sebuah kompleks pangsapuri terbakar berikutan letupan loji baja di West Texas, semalam. Gambar kecil loji baja musnah teruk selepas ia meletup akibat kebakaran.
Berpuluh-puluh rumah musnah, 100 masuk hospital

Chicago: Sebuah loji baja di Texas meletup semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 orang terbunuh, lapor media tempatan di tengah kebimbangan tangki kedua kilang terbabit juga akan terbakar.

Agensi berita AFP yang memetik kenyataan Pengarah Perkhidmatan Kecemasan West, George Smith menerusi siaran stesen televisyen KWTX melaporkan 60 hingga 70 kematian akibat kejadian itu. 

Berpuluh-puluh rumah musnah manakala lebih 160 orang terpaksa dipindahkan dari sebuah pusat perlindungan berhampiran dan sekurang-kurangnya 100 pesakit dimasukkan ke hospital berikutan letupan kuat di loji terbabit di bandar West, di luar Waco. 

Timbalan ketua jabatan bomba Waco, Don Yeager berkata letupan berlaku selepas jam 8 malam waktu tempatan dipercayai bermula dengan kebakaran di loji terbabit.
Sekurang-kurangnya empat anggota bomba juga dilaporkan hilang.

Bagai letupan nuklear

“Kejadian yang berlaku seperti letupan bom nuklear dan keadaan di sini sekarang seperti di zon perang,” kata Datuk Bandar West, Tommy Muska kepada CNN.
Wujud percanggahan laporan angka kematian selepas letupan di negeri selatan Amerika Syarikat itu, di mana saksi berkata ia menyebabkan bebola api besar melantun ke udara.

Seorang pentadbir di hospital Providence di Waco, Keith Hopkins memberitahu AFP, kakitangan kecemasan di West juga memberikan angka kematian antara 60 hingga 70 orang.

Seorang jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas, D L Wilson memberitahu pemberita beliau tidak mengesahkan atau menafikan angka itu.

AS dilanda 2 kali letupan

Amerika Syarikat dilanda dua kejadian pengeboman berkembar di Boston pada Isnin dan kebimbangan berikutan surat bercampur racun yang dihantar kepada Presiden Barack Obama dan senator Amerika Syarikat. 

Berita Harian/-

Tiada ulasan: