8 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
MACHANG - Calon Pas untuk Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengakui semua calon parti itu termasuk dirinya tidak dapat lari tempias populariti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas untuk meraih sokongan pengundi.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat itu bagaimanapun berharap pengundi Pasir Mas akan memilih beliau atas dasar Islam dan bukannya faktor bapanya semata-mata.
“Bagi saya, saya adalah anak, dan sahabat-sahabat lain yang baru (calon Pas) adalah anak murid. Insya-Allah semuanya akan menumpang populariti Tok Guru (Nik Aziz). Kita sebagai anak murid adalah sama sahaja dan saya yakin rakyat Kelantan menerima saya sebagai pejuang parti Pas dan bukannya sebagai anak kepada Tok Guru,” katanya semalam.
Nik Abduh buat kali pertama dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas, bagi merampas kerusi yang disandang oleh Datuk Ibrahim Ali.
Pencalonan Nik Abduh bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Ibrahim yang akan bertanding sebagai calon bebas dan calon Barisan Nasional (BN), Che Johan Che Pa.
Bagi tujuan itu, Nik Abduh bertekad untuk memikul tanggungjawab yang diberikan dan bekerja bersama jentera pilihan raya Pas untuk menawan semula Parlimen itu.
Mengenai pencalonannya di Parlimen Pasir Mas yang disifatkan sebagai ‘kerusi panas’, Nik Abduh berkata beliau yakin Pas akan mendapat sokongan besar berdasarkan kehendak semasa penduduk parlimen itu.
“Saya setuju (kerusi panas) dan Insya-Allah saya akan mempertahankan kerajaan negeri Kelantan dan merampas Parlimen Pasir Mas. Sekarang mood rakyat Kelantan adalah untuk mengambil balik Pasir Mas. Saya yakin jentera parti akan bersama-sama berusaha untuk memenangi kerusi itu,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan