13 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PASIR MAS – Sebelum ini, kebanyakan penduduk mengenali calon Pas, Nik Mohamad Abduh sebagai anak kepada Murshidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Jauh sekali sebagai ahli politik yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan rakyat di sesebuah kawasan.
Masih ada yang tak kenal
Mengakui masih ada segelintir penduduk Pasir Mas tidak mengenali, Nik Abduh berkata, ia tidak mematahkan semangatnya untuk keluar berkempen menjelang hari membuang undi, 5 Mei ini.
Tidak mengambil jalan singkat, beliau mengambil peluang untuk mengenali jentera parti, seterusnya berkenalan dengan penduduk Pasir Mas, di sepanjang tempoh berkempen.
Sebelum ini, kebanyakan penduduk mengenalinya sebagai Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, malah kebiasaannya program diadakan di sekitar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.
“Namun, Pasir Mas bukanlah tempat asing buat saya, kerana isteri dan keluarga mentua saya berasal dari Kampung Kasar, Pasir Mas.
“Sebelum ini juga, saya juga dijemput untuk memberi tazkirah di surau dan masjid dekat sini,” katanya.
Selami isu berbangkit
Isu air, keuzuran pasar Pasir Mas serta tahap kebersihannya, sering dimainkan oleh penyandang terdahulu, Datuk Ibrahim Ali dengan menyalahkan kerajaan negeri kerana gagal mencari jalan penyelesaian.
Campur tangan Kerajaan Pusat membina tangki air bersih banyak membantu penduduk, memandangkan isu air ini berlanjutan hampir sebulan malah berulang beberapa kali setahun.
Tidak meletakkan kelebihan sebagai anak Menteri Besar, Nik Abduh berkata sekiranya diberi mandat, beliau akan menyelami isu berbangkit yang terjadi di Pasir Mas dan berusaha untuk memajukan daerah ini ke tahap lebih baik.
Muda bukan mentah
Senario politik masa kini, memperlihatkan kebangkitan golongan belia terhadap pengaruh politik, berbeza dengan belia suatu ketika dahulu.
Nik Abduh berkata, beliau mempunyai kelebihan sebagai calon muda dan mempunyai idea yang tidak terbatas untuk pembangunan di Pasir Mas.
“Muda tidak bermakna saya mentah dalam politik, kerana saya dibesarkan dalam suasana politik bersama bapa, sejak kecil.
“Saya menghormati pencabar, Datuk Ibrahim sebagai orang lama dan berpengalaman dalam dunia politik, namun darah muda saya dalam politik tidak boleh disangkal,” katanya.
Beliau berkata, sejak menuntut di India dalam jurusan Usuluddin selama lapan tahun, pengaruh politik mula menjalar dalam jiwa dan perasaannya.
Anak kelima daripada 10 beradik ini berkata, pengalamannya terhadap politik terserah, lebih awal daripada pembabitannya dalam jawatankuasa pemuda Pas.
Jelas sekali, politik bukanlah perkara baru buat Nik Abduh dan beliau begitu yakin, dapat mentadbir Pasir Mas sekiranya diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat.
Pertembungan dua penjuru
Mengulas mengenali pertembungan dua penjuru ini, beliau berkata, penarikan diri calon BN, Che Johan Che Pa untuk kerusi P22 ini, menunjukkan BN kalah sebelum bertanding.
Menurutnya, daripada 222 kerusi yang dipertandingkan, BN kini kekurangan satu menjadi 221 calon.
“Ini diumpamakan akan menjadi badi kepada BN dan mereka bakal berdepan jalan sukar untuk kekal memerintah negara selepas Pilihan Raya ke-13 (PRU 13) ini,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan