13 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
BAGAN SERAI - “Saya terpaksa memanggil ambulans kerana bimbang selepas melihat kaki mangsa parah,” kata saksi kemalangan di Sungai Gedung di sini, Ahad lalu.
Saksi dikenali sebagai Ahmad berkata, dia melihat mangsa, P Rajagopal, 50-an, yang menunggang motosikal dikatakan bergesel dengan sebuah lori yang menuju ke arah Taiping dari Bagan Serai.
Menurutnya, akibat kejadian kira-kira jam 3.10 petang, Rajagopal mengalami patah paha dan betis kanan.
“Sejurus motosikal ditunggangi mangsa terjatuh selepas dihimpit lori berkenaan, kaki kanan mangsa digilis tayar belakang lori itu sehingga menyebabkannya terkulai.
“Lori yang mengilis kaki mangsa bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran orang awam ke lokasi kejadian,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, Ahad lalu.
Ahmad berkata, dia dan beberapa saksi kemalangan membantu mengalihkan tubuh mangsa, yang ketika itu meraung kesakitan ke bahu jalan sementara menunggu ketibaan ambulans.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kerian, N B Sugumaran ketika dihubungi media menegaskan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang dan bergegas ke sana dengan menaiki ambulans jabatan berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian, kami melihat mangsa berada dalam keadaan separuh sedar sambil meraung kesakitan, manakala kaki kanannya sudah terkulai dan parah.
“Kami segera memberi bantuan dengan membalut dan memasang alat penyokong kaki seterusnya menghantar mangsa berkenaan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan