24 April 2013

Kereta calon Pas diconteng

13 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Kenderaan Alias yang diconteng perkataan lucah.

Kenderaan Alias yang diconteng perkataan lucah.
DUNGUN – “Saya terima ujian Tuhan dengan sabar, ia sebahagian daripada perjuangan saya untuk menegakkan agama ALLAH SWT,” kata Alias Harun, pemilik kenderaan yang diconteng cat dengan perkataan lucah.

Kejadian disedari anak perempuannya, Sumaiyah, 25, ketika mahu mengundurkan kenderaan untuk menghantar dua adiknya ke sekolah setelah melihat ada tulisan putih di cermin belakang Toyota Unser milik bapanya itu yang diletakkan di garaj rumahnya dekat belakang Hospital Dungun.

Ketika kejadian, Alias yang juga calon Pas kerusi Dun Rantau Abang difahamkan bertemu pengundi di Kampung Padang Pulut selepas solat Subuh berjemaah di Masjid Serdang.

Alias berkata, ketika mahu bersarapan bersama penduduk kampung di warung, dia dihubungi anaknya memaklumkan kejadian.

Menurut Alias, dia tidak menyedari perkara itu kerana keluar awal pagi.

Menurut Alias, dia mengesyaki perbuatan tersebut dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan niat khianat kerana dia adalah calon yang bertanding pada pilihan raya kali ini.

Alias, Pengerusi Majlis Tindakan Dun Rantau Abang adalah calon yang diketengahkan Pas untuk menentang penyandang kerusi itu, Datuk Zaa’bar Mohd Adib yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Sumaiyah yang ditemui kesal kereta milik bapanya diconteng dengan perkataan lucah.

Menurutnya, sebagai seorang anak, dia beranggapan itulah sebahagian dugaan yang harus dilalui buat ahli keluarga yang terpilih untuk berjuang atas jalan ALLAH SWT.

“Saya syak ia ada kaitan dengan rancangan politik.

“Walau apa yang berlaku saya tetap beri sokongan pada ayah,” katanya.

Sumaiyah membuat laporan polis berkaitan kes terbabit dan polis mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sinar/-

Tiada ulasan: