24 April 2013

BN Titiwangsa salahguna dewan orang ramai

13 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Tindakan itu jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggunakan premis awam untuk kegiatan gerak kerja parti.
KUALA LUMPUR: PAS Titiwangsa mendakwa Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan dewan orang ramai sebagai bilik gerakan untuk  kerja jentera kawasan tersebut.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Titiwangsa Khairul Anuar Abdul Manap berkata, BN Parlimen Titiwangsa menggunakan dewan orang ramai Keramat dan Desa Pandan sebagai bilik gerakan parti.
Menurut Khairul Anuar, tindakan itu jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggunakan premis awam untuk  kegiatan gerak kerja parti.
“Umno-BN dah salah guna kedudukan dengan menggunakan dewan orang ramai sebagai markas bilik gerakan mereka.
“Harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab dan menegur BN agar kembali menggunakan bilik gerakan asal mereka,”  katanya kepada pemberita di Pusat Media Parlimen Titiwangsa di sini hari ini.
Calon PAS Titiwangsa Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, alasan calon BN Datuk Johari Abdul Ghani sebelum ini yang mengatakan dewan terbabit digunakan untuk majlis perasmian bilik gerakan tidak dapat diterima.
Malah menurut Ahmad Zamri, Umno telah menggunakan dewan itu sejak sebelum tarikh pembubaran diumumkan.

Pengundi hantu

Sementara itu, beliau turut mendakwa pihaknya dapat mengesan kehadiran pengundi hantu di kawasan Parlimen Titiwangsa apabila golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) didaftarkan sebagai pengundi.
OKU tersebut, Shariffah Shahrida Syed Osman, 26, lumpuh seluruh badan sejak berumur dua bulan menerima kad ‘Selamat Mengundi’
daripada Pusat Khidmat Masyarakat BN Titiwangsa.

Di dalam kad tersebut menyatakan Shariffah Shahrida yang beralamat di Jalan Raja Muda Musa Kampung Bahru di sini didaftarkan sebagai pengundi Parlimen P119 Titiwangsa dan Daerah Mengundi Kampong Bharu Selatan serta lokaliti Jalan Raja Muda Musa.
“Shariffah dah 26 tahun terbaring, tidak boleh bangun atau duduk dan beliau dijaga sepenuh perhatian oleh ibunya tapi Umno bagi kad yang ada tempat dia mengundi.
“Mustahil bagaimana kehidupan dia sendiri pun diuruskan orang lain tapi namanya didaftarkan dan ada lokaliti,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zamri berkata PAS Titiwangsa akan mengemukakan memorandum bantahan ke pejabat SPR di Bangunan Yayasan Selangor di sini pukul 10.00 pagi esok.
Bantahan itu termasuk tekanan isu permit daripada SPR dan polis yang menyekat mereka mengadakan ceramah menggunakan Akta Polis yang sudah tidak lagi dipakai.
Sementara itu, Ahmad Zamri berkata debat “Selamatkan Kampung Baru” pada 28 April ini tetap diteruskan dan harap pihak BN dan Johari dapat menyertainya.
Katanya, beliau kesal dengan tindakan Johari yang gagal muncul dalam program debat OKU Bangkit di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana di sini malam semalam.
FMT/-

Tiada ulasan: