24 April 2013

Polis: Letupan di Nibong Tebal dirancang kumpulan profesional

13 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Ceramah anjuran BN Nibong Tebal dicemari insiden letupan

Penyokong-penyokong BN bahagian Nibong Tebal memerhatikan kesan letupan di perkarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal di Jawi malam tadi. - Foto Bernama
NIBONG TEBAL - Kejadian letupan berhampiran bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal malam tadi adalah daripada alat letupan rekaan (IED).
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis percaya bahan letupan IED yang diletakkan dalam longgokan sampah di kawasan ceramah itu adalah perbuatan khianat yang dirancang sekumpulan profesional.
Polis menemui dua IED dalam longgokan sampah dan percaya ia bertujuan menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana tidak tenteram serta huru hara di kawasan ceramah, katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian hari ini.
Beliau berkata berikutan kejadian itu, polis menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah bagi menyiasat kejadian itu dan mengesan mereka yang terlibat.
Setakat ini polis telah merekodkan keterangan dari tujuh saksi, katanya.
Dalam kejadian pukul 10.15 malam tadi, seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan itu.
Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.
Abdul Rahim berkata kedua-dua bahan letupan sebesar kotak rokok yang disembunyikan dalam sampah itu telah ditetapkan masa berbeza untuk menghasilkan dua kali letupan.
Selepas letupan pertama, sepasukan anggota polis dan forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menemui satu lagi bahan IED itu yang kemudian diletupkan pada pukul 3 pagi, katanya.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, bahan letupan itu bukan untuk mencederakan orang tetapi bagi menghasilkan bunyi yang kuat untuk menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana huru hara di tempat ceramah.
Polis memandang serius kejadian itu dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan keadaan huru hara di negeri ini.
"Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian tetapi ia tidak berfungsi dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957," katanya. 
- Bernama

Tiada ulasan: