25 Januari 2012

Mengamuk makan diri

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang lelaki berusia 20-an cedera di bahagian dahi dan belakang kepala setelah dipukul keluarga mertuanya di Taman Teratai kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Menurutnya, kerana terlalu merindui anaknya, mangsa datang ke rumah mertua untuk melawat bagaimanapun berlaku perselisihan faham dan pergelutan.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa parang buatan sendiri dan cuba mencederakan seorang waris isterinya tetapi berjaya dielak.

“Mereka kemudiannya merampas parang di tangan mangsa dan mencederakannya,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala rebah di hadapan rumah mertuanya sebelum menerima bantuan kecemasan dari anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang datang bersama ambulans.

Mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang.

Sehingga kini keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, keluarga mertua mangsa akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Dalam kes ini, polis akan menyiasat punca sebenar berlakunya perselisihan faham antara mangsa dan keluarga mertuanya sehingga menyebabkan kejadian ini berlaku.

“Ketika kejadian berlaku, isteri mangsa tidak berada di rumah kerana bekerja di negara jiran.

Menurutnya, keterangan dari kedua-dua belah pihak penting untuk membantu siasatan yang dijalankan.

“Kita akan mengambil kenyataan kedua-dua pihak sebelum siasatan dilakukan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: