25 Januari 2012

Najib turun Perak lagi, BN Perak bermasalah ?

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat kekerapan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak turun ke Negeri Perak dalam tempoh yang singkat memberikan pelbagai persepsi yang menunjukkan Umno / BN terutamanya di Perak berada dalam keadaan yang cemas sekali. Umum maklum bahawa pada 13 Januari yang lalu, Dato’ Sri Najib telah pun berada di Perak dalam satu program khas untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN seluruh negara yang berkampung di Perak ketika itu.

Kini, selang dua minggu pula, satu lagi program iaitu Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan pada 28 Januari ini sekali lagi menurunkan Dato’ Sri Najib di Setiawan, Perak. Malah jadual Dato’ Sri Naib dikhabarkan begitu padat dalam tempoh terdekat untuk turun ke Perak dalam tempoh dua bulan yang akan datang. Adakah ianya juga berkaitan dengan kajian terbaru daripada Universiti Malaya (UM) tentang kedudukan BN untuk menguasai kembali negeri-negeri yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR)? Adakah juga kaitan kajian UM tentang prestasi BN Perak yang juga dilaporkan baru-baru ini?

Malah, kami juga melihat kenyataan terbaru Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang terus menafikan berlaku masalah menentukan kerusi bagi BN Perak turut menyumbang kehadiran Dato’ Sri Najib ke negeri Perak sekali lagi. Malah kami turut merasakan kehadiran Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin Abu Bakar ke Perak pada 23 Januari yang lalu memberikan gambaran jelas bahawa Umno / BN Perak berada dalam keadaan terdesak untuk memastikan BN mendapat kembali mandat rakyat Perak di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 yang akan datang.


SALMAN HAJI SALEH
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Tiada ulasan: