25 Januari 2012

Buah nanas kembar

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELAKA TENGAH - Seorang penduduk terkejut apabila pokok nanas dari jenis Sarawak yang ditanamnya bersama jiran bersifat ganjil apabila mengeluar buah kembar sehingga melebihi 10 biji satu pokok.

Amin Jamal, 66, dari Kampung Pernu, di sini berkata, dia mula menanam pokok berkenaan selepas memikirkan bersama jirannya jenis tanaman yang sesuai dan mudah dijaga, kira-kira dua tahun lalu.

Dia akhirnya membuat keputusan untuk menanam nanas Sarawak dan sehingga kini terdapat lebih 20 pokok di halaman rumahnya serta sudah merasai buah berkenaan bersama jiran-jiran.

“Setakat ini sudah tiga musim kami bersama jiran-jiran merasai buah nanas berkenaan tetapi tidak sangka buah nanas kali ini agak berlainan daripada ke­biasaannya.

“Saya memang tidak pernah menemui buah nanas sebegini rupa, malah saudara-mara yang berkunjung juga berkata mereka tidak pernah menemui buah serupa ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, semalam.

Menurut Amin, dia mula menyedari keadaan rupa buah nanas itu sejak sebulan lalu dan memberitahu kejadian aneh itu kepada anak-anak dan isterinya.

“Saya bercadang sekiranya buah ini sudah cukup masak, akan membahagikan dengan jiran lain supaya semua dapat merasai nikmat pemberiaan ALLAH SWT ini,” katanya.


Sinar Harian

Tiada ulasan: