25 Januari 2012

Skandal NFC: Suami Shahrizat cuba alih isu- Azan

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 Jan: Pengerusi Pusat Fidlot Nasional (NFC), Mohamad Salleh Ismail, didakwa cuba mengalihkan perhatian rakyat apabila menyatakan NFC Corp miliknya adalah entiti berasingan dengan NFC.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menafikan kenyatan suami Datuk Seri Shahrizat Jalil itu, sebaliknya menegaskan kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam projek penternakan lembu yang diusahakan.

“Datuk Seri Mohamad Salleh cuba mengalih isu. Isunya bukanlah syarikat itu milik siapa tetapi isu pokok yang menjadi perhatian rakyat ialah dana RM250 juta diseleweng.

“Walaupun kedua syarikat itu berbeza namun tetap berkait antara satu sama lain dan isu utama ialah kedua syarikat itu terbukti gagal menepati sasaran ditetapkan sehingga ditegur dalam Laporan ketua audit negara 2010.

“Bila ditegur dalam laporan audit, maknanya ada yang tidak kena dalam projek itu,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Azan mengulas kenyataan Salleh bahawa pihak audit keliru antara NFCorp- sebuah syarikat persendirian- dengan NFC yang dipunyai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kita juga hairan kenapa baru sekarang NFCorp menjelaskan kekeliruan ini dan mengapa tidak selepas ia didedahkan LKAN 2010 pada Oktober tahun lalu,” soal Azan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebelum ini mendedahkan NFC gagal menepati sasaran walaupun mendapat pinjaman mudah RM250 juta melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi menterinya, pada 14 Ogos 2007.

NFCorp turut didedah mengguna wang itu membeli kondominium elit di Kuala Lumpur dan Singapura berharga RM23 juta, membeli tanah di Putrajaya, pembelian kereta mewah Mercedez Benz, membayar keahlian kelab golf dan pelbagai transaksi meragukan.

Terbaru, KEADILAN mendedahkan hampir RM600,000 digunakan dari dana NFC untuk membiayai kad kredit ahli keluarga Shahrizat pada 2009.

Selain Muhyiddin, turut terlibat dalam skandal ini, Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Projek Impak Tinggi yang melulus projek berkenaan.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: