25 Januari 2012

SMS penculikan palsu gagal

1 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KANGAR - Tindakan seorang remaja perempuan bawah umur bersama teman lelakinya merancang satu penculikan palsu terhadap dirinya dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan terhadap bapa angkat ‘mangsa’ akhirnya mengundang padah apabila mereka diberkas polis di sebuah hotel di Jitra, Kedah kira-kira jam 12.30 pagi, 21 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, ‘mangsa’ berusia 15 tahun yang merupakan pelajar sebuah sekolah agama di Air Hitam, Kedah ditahan bersama-sama teman lelakinya berusia lingkungan 19 tahun di hotel terbabit manakala tiga remaja lelaki berusia 16 hingga 19 tahun ditahan selepas itu.

Menurutnya, berdasarkan laporan bapa angkat ‘mangsa’, pada 20 Januari lalu, kira-kira jam 8 malam, ‘mangsa’ dikatakan pergi ke pasar malam Simpang Empat dan ditegur oleh seorang lelaki tidak dikenali bertanyakan sama ada dia merupakan anak pengadu yang merupakan bapa angkatnya atau tidak.

“Sejurus selepas itu, ‘mangsa’ dikatakan pulang ke rumah dan menceritakan perkara berkenaan kepada ibu dan bapa angkatnya sebelum sekali lagi keluar ke sebuah pasar raya untuk membeli barangan aksesori wanita kira-kira jam 9 malam hari kejadian.

“’Mangsa’ dikatakan tidak balik sehinggalah bapa angkat ‘mangsa’ menerima satu SMS daripada individu yang mendakwa mengenalinya dan berdendam terhadapnya, kira-kira jam 9.47 pagi keesokan hari.

“Dalam SMS terbabit, penghantarnya memberitahu bapa angkat ‘mangsa’ bahawa anak angkatnya itu berada di bawah kawalan mereka dan mengugut untuk menyembelih ‘mangsa’ sekiranya kejadian itu dilaporkan polis. Bagaimanapun tiada tuntutan tebusan wang dikemukakan,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, berikutan laporan itu, polis memulakan pencarian ke atas ‘mangsa’ dan menjumpainya di sebuah hotel di Jitra bersama teman lelakinya.

“Setelah siasatan dilakukan, ‘mangsa’ akhirnya mengaku merancang sendiri penculikan palsu itu untuk berada di Jitra bersama teman lelakinya.

“Selain itu, ‘mangsa’ turut mengaku menghantar sendiri SMS itu dengan bantuan teman lelakinya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, keempat-empat suspek termasuk ‘mangsa’ kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: