08 Jun 2012

Diperdaya ‘Pak Ungku’

18 Rejab 1433H. [MOD] -

PERAI – Wakil waris kerabat diraja Perak kesal tindakan dua individu yang didakwa menjual watikah dan logo kereta palsu dengan jumlah antara RM2,000 hingga RM5,000 kepada orang awam.

Difahamkan, sindiket mengaburi mangsa dengan mengatakan pemiliknya akan memiliki keistimewaan dan tidak akan dikenakan tindakan jika ditahan pihak berkuasa serta mendapat diskaun jika mahu menginap di hotel.

Raja Mudzafar Shah Raja Mokhtar berkata, aktiviti sindiket itu terbongkar apabila pihaknya menerima aduan daripada dua lelaki yang menjadi mangsa individu yang menggelar dirinya sebagai Pak Ungku.

Menurutnya, sindiket yang menjual watikah dan logo kereta palsu Ahli Kerabat Diraja Perak itu dipercayai memperdaya ratusan orang awam di sekitar Bukit Mertajam dan Kulim di Kedah serta bergiat aktif sejak setahun lalu.

“Pihak Istana Seri Tambun tidak pernah menjual watikah mahupun logo kereta ini secara komersial. Kita tidak menawarkannya secara terus, sebaliknya ia dianugerahkan kepada individu terpilih melalui sokongan daripada kerabat. Pemilik watikah juga tidak pernah mendapat apa-apa keistimewaan.

“Justeru, pihak istana dukacita dengan watikah ciplak yang sama sekali tidak pernah dikeluarkan dalam bentuk imbasan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Raja Mudzafar Shah menjelaskan, watikah yang mempunyai tandatangan ayahanda saudaranya, Raja Kecil Di Hilir Perak, Datuk Seri Raja Izzudin Iskandar Shah Al Haj Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah itu dipalsukan dengan menggunakan teknik imbasan.

Selain itu ujar beliau, logo kereta yang dipalsukan juga tidak mempunyai nombor siri, sedangkan setiap logo asli akan direkodkan nombor sirinya.

Tambah beliau, mengikut rekod hanya 22 individu sahaja di kawasan Utara yang dianugerahkan dengan watikah dan logo kereta ahli kerabat diraja Perak sejak 2009 lalu.

Sementara itu, mangsa sindiket, Ang Hiang Soon, 42, berkata, dia ditawarkan untuk menjadi kerabat ketika bertemu dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dengan nama Tengku Ismail atau Pak Ungku.

Sedar selepas disaman polis

Menurut nya, dalam pertemuan disebuah hotel dekat Bukit Mertajam itu, dia diminta membayar RM2,000 kepada individu berkenaan dan dijanjikan tidak akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun polis.

“Saya sedar ditipu lelaki itu selepas disaman polis dalam satu sekatan jalan raya, dua bulan lalu. Setakat ini, saya sudah ada tiga saman, dua melibatkan kesalahan trafik dan satu JPJ kerana cermin kereta gelap,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Hiang Soon berkata, laporan polis kemudiannya dibuat pada 31 Mei lalu dan merujuk perkara itu kepada Raja Mudzafar Shah bagi mengesahkan kesahihan watikah yang dimilikinya dan ternyata ia adalah dokumen palsu.

Seorang lagi mangsa, Lim Teng Oon, 46, berkata, dia mengenali individu itu melalui rakannya, Hiang Soon.

Katanya, keistimewaan yang ditawarkan membuatkan dia tertarik dan percaya untuk membeli watikah tersebut.

“Individu itu membawa saya ke kedai untuk memasang tinted pada cermin kereta. Tetapi selepas itu, saya disaman polis.

“Saya pernah memarahi polis kerana mahu menegaskan bahawa saya ahli kerabat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah memberitahu ada menerima laporan daripada dua mangsa penipuan itu.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat pihaknya, namun sudah mengenal pasti individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Sinar Harian

Tiada ulasan: