08 Jun 2012

Polis buru empat lelaki disyaki terbabit culik guru wanita

18 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes penculikan seorang guru wanita pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata Teoh Soo Kim, 51, diculik ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di Puncak Bukit Jalil.

"Mangsa keluar dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di lokasi terbabit sebelum gagal dihubungi suaminya beberapa jam kemudian.

"Mangsa kemudian ditemui oleh polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pukul 11.30 pagi semalam," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau berkata mangsa ditemui dengan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Mangsa kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor kritikal.

Katanya siasatan mendapati empat suspek terbabit telah mengeluarkan wang daripada akaun mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah bank di Taman Kinrara pada hari yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. -- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: