18 Rejab 1433H. [MOD] -
Dua buah pertubuhan pejuang Palestin mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan baru dalam satu pertemuan di sini, langkah utama bagi mencapai keamanan dan mengadakan pilihan raya umum yang sudah lama tertangguh.
Fatah dan Hamas mencapai satu perjanjian damai pada tahun lepas tetapi gagal melaksanakannya.
Anggota delegasi Fatah, Sakher Beseiso berkata, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang memimpin pergerakan Fatah dan ketua Hamas, Khaled Mashaal akan bertemu di Kaherah pada 20 Jun ini untuk meluluskan Kabinet baru itu.
''Barisan Kabinet baru itu kemudian akan diumumkan di Ramallah, Tebing Barat,'' katanya.
Fatah yang menguasai Pihak Berkuasa Palestin mentadbir Tebing Barat manakala Hamas pula menguasai Genting Gaza.
Wakil daripada kedua-dua pihak bertemu di sini, semalam bagi membincangkan mengenai pelaksanaan rundingan damai berkenaan.
Perpecahan antara Fatah dan Hamas telah menyukarkan usaha perdamaian di Asia Barat.
Kedua-dua pergerakan tersebut berbeza pendapat bagaimana untuk menghadapi Israel di mana Fatah ingin mencapai perdamaian melalui rundingan, manakala Hamas tidak mengiktiraf rejim Zionis itu. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan