18 Rejab 1433H. [MOD] -
ALOR GAJAH, Melaka - Seorang remaja maut serta-merta selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat Kelemak, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa, Farid Maamor, 19, dari Kampung Sungai Petai dari arah Sungai Petai menuju ke pekan Alor Gajah bertembung dengan Perodua Myvi dari arah Masjid Tanah menuju ke Pengkalan.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang merupakan seorang peniaga buah-buahan dalam perjalanan pulang ke kedainya di Pasar Menggong bertembung dengan Perodua Myvi yang dipandu Mohd Nasaruddin Anuar, 22, beralamat di Durian Tunggal.
Rakan mangsa, Muhammad Farizuan Sarif, 19, berkata, kira-kira jam 10.30 malam, dia sempat menikmati makan malam bersama rakannya itu sebelum mangsa menghantarnya pulang semula ke kedainya.
Menurutnya, sepanjang makan malam, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan mereka berbincang mengenai perancangan hari esok untuk mendapatkan bekalan buah-buahan.
“Selesai makan, arwah menghantar saya pulang ke tempat kerja dan dia terus menghala ke pekan Alor Gajah.
“Kebiasaannya arwah memberitahu ke mana dia pergi, tetapi malam itu tidak,” katanya.
Muhammad Farizuan yang terkejut menerima panggilan daripada seorang rakannya berhubung kemalangan yang menimpa Farid, bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik sampai saya mendapati mangsa sudah tercampak ke selekoh laluan menghala ke arah Pengkalan.
“Arwah yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu seorang yang rajin dan sering membantu kedua ibu bapanya menjalankan perniagaan,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka.
Sementara itu, pemandu Perodua Myvi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kereta yang dipandu mengalami kerosakan teruk di bahagian tepi sebelah kiri akibat rempuhan kuat. Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Kelemak berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah itu.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk menjalani bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan