08 Jun 2012

Pekerja ladang maut ditetak

18 Rejab 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Nasib seorang pekerja ladang yang baru bekerja 10 hari bertukar malang apabila lelaki itu mati dipercayai dibunuh di sebuah ladang buah tembikai di Felcra Changkat Sulaiman, di sini.

Lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga warga Myanmar itu ditemui dalam keadaan terbaring tanpa berpakaian lengkap dengan hanya mengenakan kain pelekat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku, Ahad lalu apabila pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.45 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota forensik dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyiasat penemuan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mendapati, ada kesan tetakan di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

“Lelaki itu mempunyai kecederaan parah di tengkuk, bahu dan lengan kiri yang dipercayai ditetak. Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan ketiadaan pengenalan diri dijumpai, bagaimanapun berdasarkan siasatan yang dibuat, mangsa berkemungkinan berusia lingkungan 20-an,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini. Kok Liang berkata, pihaknya turut menjumpai sepasang selipar berwarna hitam di kanan dan kiri mangsa selain sebatang cangkul yang mempunyai kesan darah.

"Kesemua penemuan tersebut dibawa ke makmal bagi mengesan bukti.

Sementara itu, berdasarkan hasil maklumat soal siasat pemilik ladang tembikai menyatakan mangsa baru bekerja dengannya 10 hari lalu.

"Majikan ini menyatakan dia mempunyai tujuh pekerja namun, kejadian bunuh itu menyebabkan kesemuanya menghilangkan diri tanpa sebab.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya dan motif pembunuhan masih disiasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: