08 Jun 2012

9 juta ambil ujian masuk universiti

18 Rejab 1433H. [MOD] -

Pelajar berebut tempat lanjut pelajaran ke menara gading di seluruh China

BEIJING: Lebih sembilan juta pelajar di China menduduki peperiksaan kemasukan universiti disifatkan paling sukar di negara itu semalam hingga ramai ibu bapa sanggup menyewa bilik hotel dan menyediakan pengasuh untuk memastikan kejayaan anak mereka.

Dengan hanya 6.85 juta tempat yang ditawarkan di universiti di seluruh China tahun ini, persaingan memasuki menara gading utama semakin meningkat dan cubaan menipu juga tidak terkecuali apabila lebih 1,500 ditahan kerana disyaki menjual alat pendengaran yang sukar dikesan.

Tahun ini, ada ibu bapa dan pelajar menggunakan pelbagai kaedah pelik tetapi sah di sisi undang-undang untuk memastikan mereka tidak membuat kesilapan dalam peperiksaan dua hari itu.

Malah, ada pelajar diberikan suntikan dan titisan intravena sebelum masuk bilik peperiksaan, bagi meningkatkan tahap tenaga sementara pelajar perempuan pula diberi suntikan hormon dan pil pencegah hamil untuk melewatkan haid.

“Ada pelajar perempuan mengambil pil untuk melewatkan haid sehingga selepas peperiksaan,” kata seorang pakar sakit puan di Hospital Chaoyang, Beijing.

Selain itu, pasangan kaya menyewa rumah untuk anak mereka yang berhampiran dengan 7,300 pusat peperiksaan di seluruh negara manakala bilik didakwa untuk ‘pelajar pandai’ juga ditawarkan di bandar pelabuhan Tianjin, lapor akhbar China Daily. – AFP

Tiada ulasan: