18 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LIPIS - Kesedaran mengenai kepentingan memakai topi keledar dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal masih rendah walaupun mereka melalui jalan raya yang agak sibuk.
Seorang pengguna jalan, Mohd Faizal Mohamad, 34, berkata, ramai penunggang dan pembonceng di Jalan Lipis-Jerantut tidak memakai topi keledar dan keadaan itu menggambarkan mereka memandang remeh soal keselamatan diri.
Menurutnya, lebih dikesalkan apabila ada ibu bapa yang menunggang motosikal sambil membonceng anak kecil.
“Mungkin mereka beranggapan si anak selamat duduk di belakang kerana memeluk erat pinggang si ibu atau ayah walaupun tidak memakai topi keledar.
“Namun mereka tidak sedar, itu satu kesalahan besar,” katanya, di sini, kelmarin.
Mohd Faizal berkata, jika berlaku kemalangan terutama melibatkan nyawa, sudah tentu ibu bapa tadi akan kesal sepanjang hayat kerana kesilapan mereka sendiri.
“Anak-anak sudah dididik sejak kecil sikap sambal lewa dan tidak cakna dengan keselamatan diri semasa di jalan raya.
“Perkara ini wujud kerana tiada kesedaran dan pendidikan dalam kalangan ibu bapa atau penduduk betapa pentingnya memahami peraturan jalan raya,” katanya.
Mohd Faizal berkata, walaupun kempen dan pelaksanaan peraturan dibuat, namun jika tiada inisiatif mengubah sikap, ia ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.
“Kerajaan Negeri menerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) memperuntukkan banyak wang bagi melaksanakan kempen advokasi keselamatan jalan raya termasuk menyumbang topi keledar percuma dan pelekat keselamatan, tetapi kesedaran masih di takuk lama.
“Senario ini antara sikap manusia yang sengaja mengabaikan keselamatan sendiri dan kadang-kadang mengancam orang lain,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan