18 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Biarpun pembekuan pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) ditarik balik, namun anak muda kini kenal siapa itu BN, kata Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, tindakan PTPTN yang direstui Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu hanya mendedahkan perangai kebudak-budakan kerajaan.
Pembekuan itu juga katanya menjelaskan bahawa slogan transformasi politik dan rakyat diutamakan, hanyalah kata-kata kosong yang tidak mempunyai nilai selain dendam politik murahan.
"Dengan bertindak seperti itu, generasi muda pasti akan mengenal dasar hipokrit BN.
"Apabila Menteri KPT mengarahkan supaya PTPTN dibekukan untuk pelajar yang akan mendaftar di Unisel, bermakna kerajaan pusat telah melaksanakan dasar penindasan bersifat apartheid kepada pelajar dan ibubapa di negeri Selangor," katanya.
Menurut Azmi, menteri KPT ternyata tidak dapat membezakan antara dasar memberi pendidikan percuma diperingkat persekutuan dengan hak mendapat pembiayaan diperingkat negeri.
Menghentikan pinjaman PTPTN dengan cara selektif dan diskriminatif begini ujarnya lagi, membuktikan slogan 1 Malaysia bukan kesaksamaan untuk semua tetapi keistimewaan untuk rakyat dan negeri yang pro BN dan menafikan hak negeri Pakatan Rakyat.
Ini juga bererti konsep persekutuan (federalisme) sudah dibatal oleh BN sendiri, katanya lagi.
"Tindakan membeku pinjaman kepada anak warga rakyat sendiri untuk melanjutkan pelajaran atas sebab politik adalah tindakan tidak bertamadun.
"Negara fahaman komunis sendiri tidak mengambil tindakan seperti itu," tegasnya lagi.
Tindakan sebegitu ujar Azmi, bukan baru dilakukan Umno BN.
Isu menafikan hak royalti minyak untuk Trengganu bila PAS memerintah, menghentikan bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat dan mewujudkan agensi khas iaitu JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) bagi Negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang adalah antara angkara 'gila kuasa' yang tersemat dalam sanubari pemimpin negara kini.
"Rakyat harus terima hakikat bahawa yang dipentingkan (BN) bukan lagi kebajikan rakyat tetapi kuasa yang ingin dipertahankan termasuk menafikan hak rakyat.
"Tindakan itu bukan sahaja menyalahguna kuasa malah ia juga adalah pemangsaan masa depan anak bangsa sendiri. Generasi muda yang menjadi mangsa harus tahu bersikap terhadap kerajaan ini," katanya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan